Buletin

KENAPA PROJEK SUPER MOPED MODENAS TAK JADI?

Pada sekitar tahun 2015-2016, Syarikat motosikal Modenas telah merancang untuk menghasilkan kapcai sendiri dengan kapasiti lebih besar – 150cc. Ia satu impian yang optimis selepas bergantung sepenuhnya pada rakan teknikal mereka Kawasaki sejak ditubuhkan pada 1995.

Rancangan tersebut dimulakan dengan menghantar jurutera di salah sebuah universiti di Austria untuk membangunkan enjin dari awal. Beberapa tahun kemudian, enjin ini siap dan ia dipasangkan pada kerangka serba baru untuk proses ujian.

Enjin ini sudah siap sepenuhnya dan telah melalui fasa ujian makmal dan jalanan yang ekstensif. Menurut sumber kami ketika itu, ia sebuah enjin 150cc dengan 16 kuasa kuda, tertinggi dalam kategorinya. (Pada fasa kedua, sesarannya dinaikkan kepada 175cc dengan sekitar 17-18hp)

Enjin ini dibentangkan secara menegak dengan kepala selinder aci sesondol berkembar (DOHC), sejukan cecair, suntikan bahan api elektronik dan sistem transmisi enam kelajuan.

Model awal ini dikenali dengan kod nama GT150, selari dengan profil model kapcai modenas ketika itu yang terdiri dari CT100, GT128 dan ini yang terbesar, GT150.

Ada beberapa versi cerita yang pernah kami dengar. Sebenarnya, projek super moped ini ditangguhkan beberapa kali di atas faktor kos. Modenas tidak berani memperjudikan modal yang besar dalam segmen ini yang sangat kompetitif.

Hal ini kerana mereka sudah fokus pada produk dari rakan teknikal dari India – Bajaj dan dari Taiwan – Kymco yang ternyata lebih berisiko rendah dengan modal yang lebih kecil, disamping teknologi yang telah terbukti, bersama rangkaian vendor, alat ganti dan khidmat selepas jualan yang telah jelas di pasaran asal motosikal ini.

Memandangkan kami mengikuti perkembangan motosikal ini dari peringkat awal dengan TIGA pengurusan berbeza, berikut ialah ringkasan yang dapat kami simpulkan asbab Modenas tidak meneruskan projek supermoped ini.

1.KOS YANG TINGGI

KERANGKA TRELLIS – Tidak seperti majoriti kapcai yang dibina berdasarkan kerangka jenis berlian (Diamond frame), atas sebab yang tidak diketahui, Modenas membangunkan kapcai ini dengan kerangka trellis.

Ia merupakan cantuman tiub besi yang melingkari bahagian sisi motosikal yang berbeza dengan kerangka jenis berlian yang dicantumkan menerusi tiang tunggal di bahagian tengah motosikal.

Kerangka ini lebih mudah dibina jika ia sebuah motosikal jenis naked dengan kedudukan tangki di bahagian hadapan (seperti RX-Z, KTM, FZ150i) namun membuatnya pada sebuah kapcai adalah satu percubaan yang berani.

Atau lebih tepat lagi, sukar.

Ia memaksa rekaan tangki bahanapi, kotak udara, ruang bateri dan simpanan barang menjadi sangat terhad. Sudah tentu, ruang pengambilan udara, kelegaan ruang pada komponen seperti penyuntik bahanapi dan badan pendikit turut menjadi halangan.

Kerja-kerja ini telah meningkatkan kos dan kerangka itu sendiri sebenarnya lebih mahal untuk disiapkan berbanding kaedah tradisional pembinaan underbone.

2. KETIADAAN SINERGI MODEL

Sesebuah motosikal yang dihasilkan lazimnya dipelbagaikan kepada sub-model untuk memaksimakan keuntungan. Apa lagi dalam pasaran motosikal Malaysia yang kecil, angka jualan perlu cukup untuk memastikan pelaburan modal membuat model asas diperolehi dan menggandakan keuntungan menerusi sinergi dari model sedia ada.

Ambil contoh Yamaha Y15ZR. Asasnya ialah enjin LC135 yang dikembangkan menjadi model Y15ZR dan enjin yang sama berkongsi dengan FZ150i dan YZF-R15.

Enjin Honda RS150R merupakan “salinan” daripada model Sonic dan berkongsi komponen dengan CBR150.

Jika Modenas ingin mendapatkan kembali pelaburan jutaan ringgit yang telah dibuat untuk enjin tersebut, mereka perlu ada sinergi model selepasnya.

Atau jika tidak, berdepan dengan kerugian berpanjangan. Mereka telah melaluinya menerusi Ace, X-Cite dan C-Trix sebelum ini gagal dalam persaingannya.

Dan. Ada lagi satu masalah. Jika sekalipun mereka mampu membuat varian naked, ia akan bertindan dengan pasaran Modenas Bajaj V15 yang juga merupakan enjin satu selinder yang dijual cuma pada harga RM6,000 sahaja.

3. PERSAINGAN SENGIT

Modenas hanya mengharapkan pasaran tempatan untuk jualan utamanya. Di dalam liga supermoped ini, ada Yamaha Y15ZR, Honda RS150R, Benelli RFS150i dan Sym VF3i 185.

Yamaha menguasai pasaran segmen ini, sekurang-kurangnya di Malaysia dan Vietnam, Honda RS150R kukuh di Indonesia dan Vietnam, SYM sebuah syarikat gergasi dari Taiwan dan Benelli pula syarikat China yang mampu membuat sebuah enjin baru setiap bulan.

Modenas hanyalah pemain kecil yang terpaksa bersaing dengan lawannya yang jauh lebih kuat.

Tapi kalau dah tahu pasaran tak besar kenapa nak melabur juga?

Sebab waktu Modenas merancang untuk buat GT150, Y15ZR, RS150R tidak wujud dan kita semua juga tak sangka bahawa motor kapcai akan berkembang ke sehingga enjin 185cc.

Itu realiti biasa dalam perniagaan. Perancangan dari sebuah syarikat bersaiz seperti Modenas memakan masa yang lebih lama untuk membina sebuah motosikal model baru berbanding Honda atau Yamaha.

Mereka tidak duduk dalam liga yang sama. Ketika Modenas baru nak uji enjin dan casis, Honda dan Yamaha sudah siap dan boleh jual motosikal mereka. Syarikat-syarikat besar ini mempunyai kemampuan dari segenap sudut, baik kos, masa, kepakaran dan semuanya.

Menurut kami, fakta-fakta inilah yang menjadikan Modenas tidak dapat meneruskan agenda Super Moped pertama mereka. Ia lebih kepada keputusan perniagaan.

Pun begitu, berdasarkan spekulasi terbaru yang kami dengar, paten enjin ini mungkin akan dijual kepada pemegang saham mereka Kawasaki. Harap-harapnya, ia akan jadi kenyataan juga akhirnya nanti…

Google ads
Back to top button