Buletin

PROTON BINA KILANG PEMASANGAN DI PAKISTAN. MULA OPERASI 2021

Ketika Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad melawat Pakistan sewaktu sambutan Hari Resolusi pada Mac tahun ini, beliau telah menghadiahkan kepada Perdana Menteri Pakistan, Tuan Yang Terutama Encik Imran Khan sebuah Proton X70 di satu majlis menandatangani plak. Semalam, PROTON menyerahkan Proton X70 tersebut secara rasmi kepada kerajaan Pakistan.

Mewakili Malaysia pada majlis penyerahan ialah Tuan Yang Terutama Encik Ikram Mohammad Ibrahim, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan serta En. Khalid Yusof, Pengarah Pelaburan dan Promosi PROTON.

Bagi pihak Kerajaan Pakistan untuk menerima kereta tersebut pula ialah Encik Abdul Razak Dawood, Penasihat Perdana Menteri bagi Perdagangan, Tekstil, Industri & Pengeluaran dan Pelaburan Pakistan. Turut hadir ialah Encik Al-Haj Shah Jee Gul Afridi, Pengerusi ALHAJ Automotive iaitu pengedar rasmi PROTON di Pakistan.

Meskipun unit pertama telah dikhaskan untuk Encik Imran Khan, itu bukanlah satu-satunya model yang akan berada di Pakistan.

Pembinaan sedang dijalankan di tapak Greenfield yang terletak di Karachi untuk sebuah kilang pemasangan CKD baharu yang akan dimiliki dan dikendalikan oleh ALHAJ Automotive.

Aktiviti pengeluaran dijadualkan bermula pada tahun 2021 dengan pelbagai pelan dirancang secara teratur untuk pemasangan beberapa model di negara ini.

“PROTON melihat pelbagai potensi di Pakistan dan oleh kerana Malaysia adalah satu-satunya negara Islam yang mempunyai jenama automotif sendiri, kedua-dua negara dilihat sebagai rakan usaha sama semula jadi yang mempunyai pelbagai kelebihan bersama yang boleh dikongsi antara satu sama lain. Proton X70 telah memenangi pelbagai anugerah di Malaysia dan kami berharap agar perkara yang sama dapat dicapai di Pakistan,” kata En. Khalid Yusof.

Bercakap mengenai potensi perniagaan yang telah bertambah baik antara kedua-dua negara, Tuan Yang Terutama Encik Ikram Mohammad Ibrahim berkata

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia menyokong usaha yang dilakukan PROTON dan ALHAJ Automotive untuk menjual dan selepas ini untuk memasang kereta-kereta Proton di Pakistan.

Aktiviti perniagaan seperti ini sekaligus akan menyumbang ke arah memupuk hubungan ekonomi yang lebih erat dan kukuh antara kedua-dua negara.

Semestinya Malaysia menyambut baik kedatangan Encik Imran Khan yang bakal tiba di Kuala Lumpur bagi Sidang Kemuncak KL 2019 pada hujung minggu ini.”

Melalui pembinaan kilang pemasangan di Pakistan dengan kerjasama ALHAJ Automotive, PROTON berharap dapat kelebihan pengurangan cukai bagi kenderaan CKD di negara tersebut.

Ini akan membantu Syarikat dalam mencapai matlamat jangka panjangnya untuk menjual 400,000 unit kereta menjelang 2027.

Kilang pemasangan CKD baharu di Karachi akan dibina dengan pelaburan awal sebanyak USD30 juta dan akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan langsung dalam tempoh tiga tahun pertama operasinya.

Dianggarkan pula akan terdapat lebih 20,000 peluang pekerjaan tidak langsung setelah kilang tersebut siap dibina.

“ALHAJ Automotive akan memanfaatkan pengedar sedia ada di seluruh negara itu untuk mula menjual keretakereta Proton secepat mungkin sementara kami membangunkan cawangan 3S/4S.

“Kami akan menghantar unit unit CBU dari Malaysia sebagai permulaan operasi di Pakistan sebelum memasarkan unit CKD sebaik sahaja kilang pemasangan itu mula beroperasi,” ujar Encik Al-Haj Shah Jee Gul Afridi.

Google ads
Back to top button