PROTON AKAN LANCAR MPV, SUV DAN SEDAN BAHARU TAHUN DEPAN
Dalam satu laporan yang diterbitkan oleh akhbar tempatan, Berita Harian melaporkan bahawa sumber mereka mengesahkan bahawa Proton akan memperkenalkan barisan lengkap model-model baharu sepenuhnya pada tahun 2020.
Ia meliputi sedan, MPV dan juga SUV baru yang dijangka akan mengukuhkan lagi kedudukan pembuat kereta Nasional itu dalam pasaran automotif serantau.
Pengenalan model baharu PROTON itu adalah hasil perkongsian strategiknya dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).
PROTON pada 2019 sudah pun memperkenalkan empat model dinaik taraf dan syarikat itu berkemungkinan tidak akan memperkenalkan lagi model dinaik taraf tetapi menumpukan kepada pengeluaran model baharu.
Salah satunya adalah Proton X50 yang dijadualkan akan dilancarkan pada pertengahan 2020.
Sementara itu, difahamkan model sedan yang akan ditampilkan adalah bagi menggantikan Preve, manakala MPV bakal menggantikan Exora.
Perkara ini juga seiring dengan perancangan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) yang bakal memperkenalkan barisan penuh produk baharunya tahun hadapan.
Jurucakap Geely yang berpangkalan di China ketika dihubungi BH berkata, firma automotif China itu bakal mempunyai barisan produk penuh pada 2020.
Beliau berkata, Geely juga komited dalam memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) dan menyasarkan 90 peratus jualan kenderaan EV bermula 2020.
“Geely ingin menjadikan kenderaan EV sebagai kenderaan yang boleh dimiliki semua. Daripada jumlah itu, 65 peratus jualan adalah dari kereta elektrik plug-in hibrid (PHEV) dan kenderaan elektrik hibrid (HEV).
“35 peratus saja daripada jualan model EV sepenuhnya. Lantaran itu, bagi menyokong peningkatan jualan EV, Geely memperkenalkan jenama Geometry yang akan mengeluarkan model EV sepenuhnya,” katanya.
Malah Proton X70 secara pemasangan tempatan (CKD), kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya bakal diperkenalkan pada separuh pertama 2020 diikuti oleh Proton X50 pada separuh kedua.
Sumber yang rapat dengan perkara itu pula berkata, sesetengah model kenderaan dan teknologi Geely itu boleh ditemui dalam model PROTON dalam masa terdekat dan perkara itu akan diumumkan secara rasmi pada masa akan datang.
Beliau berkata, barisan model baharu Geely itu tidak boleh dipasarkan secara terus oleh syarikat itu kerana berdasarkan perjanjian antara Geely dan PROTON.
“Untuk pasaran pemanduan sebelah kanan, Geely tidak akan bersaing dengan PROTON. Itu yang termaktub dalam perjanjian bersama.
“Jadi, untuk membolehkan Geely memasuki pasaran PROTON atau Malaysia, ia perlu dijenamakan semula seperti yang dilakukan untuk model SUV dari Boyue milik Geely.
“Kemungkinan besar model baharu Geely itu kelak akan menjalankan proses yang sama. Penjenamaan semula dan pembangunan berterusan daripada pereka dan jurutera PROTON agar sesuai dengan pasaran tempatan. PROTON akan mengeluarkan beberapa model baharu yang akan dijenamakan dan diubah suai,” katanya.
KREDIT: BERITA HARIAN