Buletin

PROTON LABUR RM1.2B & LANTIK VENDOR UTAMA TEMPATAN & ANTARABANGSA

PROTON mengambil satu lagi langkah ke hadapan untuk pengeluaran tempatan SUV X70 apabila sekumpulan pembekal PROTON dan rakan kongsi luar negara menandatangani perjanjian kerjasama hari ini.

Kumpulan pertama yang menandatangani perjanjian meliputi skop usaha sama sehinggalah bantuan teknikal itu akan membawa pelaburan awal sebanyak RM170 juta ke Malaysia. Nilai pelaburan ini dijangka meningkat dalam masa beberapa tahun, selari dengan peningkatan jumlah pengeluaran PROTON.

Majlis yang diadakan di Proton Tanjung Malim Sdn. Bhd., iaitu kilang pengeluaran PROTON telah dihadiri oleh Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Tanjung Malim dan Dato’ Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin, Exco Pelaburan dan Pembangunan Koridor. Majlis telah dihoskan oleh Dato’ Seri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON; Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON; Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON serta barisan pengurusan kanan PROTON serta DRB-HICOM.

Perjanjian yang ditandatangani di antara pembekal Malaysia dan rakan kongsi luar negara ini merupakan langkah pertama dalam mewujudkan pembekal yang mampu memenuhi standard teknologi dan kualiti yang diperlukan untuk mengeluarkan kereta-kereta Proton generasi baharu yang akan dihasilkan bersama Geely.

Perjanjian ini juga merupakan komitmen PROTON untuk meningkatkan jualan tempatan dan pasaran eksport dengan transformasi Tanjung Malim sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan. Selain  menjadi hab pengeluaran untuk model-model pemanduan sebelah kanan dalam kumpulan Geely.

Untuk mencapai matlamat ini, PROTON melabur sebanyak RM1.2 bilion dalam inisiatif perluasan kilang bagi memenuhi keperluan pengeluaran semua model baharu Proton di Tanjung Malim. Ini selaras dengan perjanjian perkongsian strategik yang ditandatangani di antara PROTON dan Geely pada 2017 dengan hasrat untuk mengembalikan kegemilangan PROTON dan jualan model-modelnya.

Matlamat jangka panjang adalah untuk membangunkan semula jenama itu sebagai pemimpin pasaran dalam negara. Di samping memperluaskan jenama di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam pasaran ASEAN bagi pemanduan sebelah kanan.

“PROTON menggesa para pembekalnya untuk mengambil peluang ini bagi mewujudkan usaha sama dengan pembekal luar negara demi mencapai standard dunia dari segi kemajuan teknologi dan kualiti. Ini akan membolehkan mereka bersaing di peringkat antarabangsa dan membangunkan komuniti pembekal industri automotif Malaysia yang mampu bersaing secara global,” kata Pengerusi PROTON, Dato’ Seri Syed Faisal Albar.

“Penglibatan pembekal Malaysia adalah komponen utama untuk mencapai matlamat jangka masa panjang Syarikat. Kami mahu produk Proton yang dihasilkan di sini iaitu di Tanjung Malim, menggunakan komponen buatan Malaysia untuk pasaran domestik serta model eksport dan mampu berdepan dengan pesaing dari seluruh dunia. Ini adalah komitmen PROTON, sebagai jenama automotif ikonik Malaysia, untuk memastikan industri automotif Malaysia terus membangunkan kompetensi kelas dunia,” katanya.

Google ads
Back to top button