Buletin

PROTON S50 DIKESAN DIPANDU UJI DI SUBANG JAYA – TAMPIL STERENG SEBELAH KANAN

Pada Mac lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong, mengesahkan model sedan Proton S50 akan dilancarkan pada hujung tahun ini dan baru-baru ini, model berkenaan dikesan sedang melakukan ujian jalan raya di Subang Jaya.

Menerusi foto dikongsikan oleh putra247, Proton S50 berpelekat samaran itu tampil dengan stereng di sebelah kanan (RHD).

Model sedan baharu itu adalah berdasarkan Geely Emgrand dan mempunyai dimensi 4,638mm (panjang), 1,820mm (lebar) dan 1,460mm (tinggi). Secara keseluruhan, ia lebih besar berbanding Proton Preve.

Walaupun diposisikan sebagai sedan segmen C, Geely Emgrand dibina di atas platform B Modular Architecture sama seperti SUV Proton X50. Platform ini boleh dikonfigurasi kepada pacuan roda depan sahaja atau pacuan semua roda.

Untuk bahagian dalam kabin, ia berkemungkinan menerima rekaan seakan Proton X50, dimuatkan skrin bersaiz 10.25-inci pada papan pemuka yang menyokong GKUI Smart Ecosystem selain dilengkapi meter digital 12.3-inci.

Untuk rekod, Geely Emgrand di pasaran China ditawarkan dengan enjin 1.5 liter NA yang mampu menjana kuasa 114hp dan 147Nm tork serta dipadankan bersama transmisi CVT.

Selain itu, terdapat pilihan janaan kuasa iaitu enjin 3 silinder 1500cc JLH 3G15T Port Fuel Injection, berupaya menghamburkan kuasa 148hp atau enjin 3 silinder 1500cc JLH 3G15TD Suntikan bahan api, menghasilkan 175hp.

Dari segi harga, ia bakal ditawarkan harga kompetitif untuk pasaran terkini dan kita boleh menjangkakan Proton S50 diberi tanda harga di antara RM70,000 hingga RM100,000. – Careta

Google ads
Back to top button