
JUALAN PROTON NAIK 50.9% Q1 2023. DIBANTU OLEH PERSONA
Proton mencatat jualan kukuh apabila 40,287 unit terjual, peningkatan sebanyak 50.9 peratus pada suku pertama 2023.
Bagi Mac, 14,573 unit untuk pasaran domestik dan eksport telah terjual, menyaksikan peningkatan 3.8 peratus berbanding Februari serta Mac 2022, 11.9 peratus.
Catatan jualan Mac membolehkan rekod baharu dicapai dalam jumlah volum industri (TIV) yang dianggarkan sebkitar 78,000 unit, sekali gus memecahkan rekod Disember 2022, 76,657.

Peningkatan luar biasa Proton dibantu oleh jualan sedan segmen-B paling laris, Proton Persona. Untuk rekod, 2,421 unit berjaya dijual pada Mac 2023, menjadikan jualan suku pertama berjumlah 6,773, meningkat 79.2 peratus.
Populariti Proton X50 tidak pernah tercabar sejak ia dilancarkan. SUV segmen-B itu tetap mendahului segmennya dengan 3,414 unit berjaya dijual pada Mac.
Untuk Proton X50, jualan suku pertama adalah 9,668 unit, penambahan 34.4 peratus berbanding 2022.

Pendahulu jualan segmen ketiga Proton adalah Proton Exora (426 unit), sementara Proton Saga berhasil mengutip jualan 6,313 unit pada Mac, diikuti Proton Iriz (712 unit) dan Proton X70 (1,272 unit).
“PROTON menunjukkan prestasi sangat baik pada suku pertama 2023 dan kami bangga dengan pencapaian jualan melebihi 40,000 unit.
“Walau bagaimanapun, kami sedar kadar jualan pada tiga bulan pertama meningkat kerana semua jenama tergesa-gesa untuk menghantar kereta yang ditempah semasa insentif PENJANA.
“Tarikh akhir penghantaran adalah 31 Mac 2023. Seterusnya membantu menerangkan kenapa TIV dianggarkan sebanyak 78,000 unit pada bulan ini,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.
Gambaran sentimen pasaran mungkin muncul pada akhir suku kedua, tetapi Proton yakin mampu mengekalkan momentum jualan. Proton X90 akan dilancarkan tidak lama lagi dan syarikat itu juga ada penambahan barisan model lewat tahun ini selain komited mengembangkan barisan model Kenderaan Tenaga Baru (NEV).
- BACA: PROTON RANGKA STRATEGI NEV YANG AGRESIF DI MALAYSIA BERSAMA GEELY
- BACA: SEGALANYA TENTANG PROTON S50, LANCAR PENGHUJUNG 2023
- BACA: APA MAKSUD KENDERAAN TENAGA BARU & BELT STATOR GENERATOR PADA PROTON X90?
- BACA: PROTON X90 DIPERKENAL. SISTEM HIBRID RINGAN 48V, 190HP/300NM, PILIHAN 6 & 7 TEMPAT DUDUK, LANCAR SELEPAS HARI RAYA?









