
PROTON X50 SPORT EDITION DILANCARKAN – TERHAD 1,000 UNIT, HARGA BERMULA RM98K
Selepas kemunculan sulung di Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024), Proton kini secara rasmi melancarkan Proton X50 Sport Edition.
Dibina berasaskan varian X50 Premium, model Sport Edition ini menerima sentuhan aerodinamik yang lebih berani menerusi aerokit khas, kemasan badan berwarna hitam Quartz Black, serta aksen merah pada bahagian splitter hadapan, skirt sisi dan bampar belakang.
SUV ini juga hadir dengan rim aloi 18-inci dan jeriji hadapan berwarna hitam berkilat, melengkapkan rupa luaran yang lebih garang.

Tidak ketinggalan, pelekat badan eksklusif serta lencana Sport Edition turut menghiasi model istimewa ini.
Bahagian dalaman turut menerima kemas kini bagi mencerminkan elemen sporty edisi khas ini. Ciri-ciri eksklusif seperti plet ambang pintu khas, alas kaki Sport Edition, serta perincian merah pada tempat duduk, panel pintu dan perehat tangan hadapan memberikan aura lebih segar dan dinamik.
Dari segi mekanikal, Proton X50 Sport Edition kekal dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo, menghasilkan 150PS dan 226Nm tork.

Kuasa ini disalurkan melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, menawarkan pemanduan yang responsif dan bertenaga.
Hanya 1,000 unit Proton X50 Sport Edition akan ditawarkan di pasaran, menjadikannya model yang cukup eksklusif.
SUV edisi khas ini dijual pada harga RM98,300 selepas rebat RM7,000 yang ditawarkan sepanjang bulan Januari.