" "
Artikel Pilihan

KEBANGKITAN KERETA JENAMA CHINA DI MALAYSIA. BAHAGIAN 2

Minggu lepas penulis ada siapkan satu artikel berkenaan kembalinya jenama automotif China di pasaran tempatan. Dalam senarai kami, terdapat sehingga 20 jenama China yang akan dan sedang dijual sekarang. Artikel kali ini adalah sambungan artikel minggu lepas yang akan menjadi terlalu panjang untuk diulas dalam satu sesi

11. JAC – merupakan singkatan kepada Anhui Jianghuai Automobile Group Corp. merupakan salah stau syarikat yang telah lama beroperasi semenjak tahun 1964.JAC merancang untuk menjual trak pikap JAC T9 yang akan dipasarkan dalam 2 pilihan trenkuasa samaada elektrik sepenuhnya atau turbodiesel

Bagi varian turbodiesel, ia akan menggunakan enjin 2000cc turbodiesel yang menjana sehingga 170 PS dan 410Nm tork. Bagi varian elektrik sepenuhnya, ia dibekalkan dengan bateri LFP sebesar 88kWh dan juga 2 motor elektrik yang menjana 95 PS pada roda depan dan 218 PS pada roda belakang

12. JETOUR – merupakan salah satu subsidiari yang dimiliki oleh Chery dan ditubuhkan pada tahun 2018. Dengan memberi fokus kepada pengeluaran SUV dan juga crossover, Jetour telah menunjukkan beberapa model yang menarik dan bakal diperkenalkan di pasaran pada tahun 2025 dengan model Dashing dan juga X70 Plus

Namun Jetour juga merancang untuk membawa masuk model yang jauh lebih menarik dan lebih lasak seperti Jetour T1, Jetour T2 dan juga Jetour T5 yang dikuasakan dengan trenkuasa hibrid. Jetour membawa imej lasak, kembara dan juga gaya hidup aktif kepada pemilik di China

13. JMC- merupakan singkatan kepada Jiangling Motors Corporation Limited yang telah ditubuhkan pada tahun 1993 lagi, dengan Ford membeli pegangan saham JMC sebanyak 20% pada tahun 1995. JMC dibawa masuk oleh Tan Chong Angka-Tan melalui penawaran model trak pikap JMC Vigus Pro pada harga Rm 98,000 sahaja

14. LOTUS- jenama yang sinonim dengan sejarah perlumbaan ini pernah dimiliki oleh Proton sebelum Proton melepaskan pegangan saham majoriti kepada Geely. Melalui suntikan dana baru daripada Geely, Lotus sekang menghasilkan model SUV elektrik premium Lotus Eletre, sedan premium Emeya dan juga kereta sport Lotus Emira

15. LEAPMOTOR – atau nama penuhnya Zhejiang Leapmotor Technology Co. Ltd. adalah sebuah syarikat yang baru ditubuhkan pada tahun 2015 dan menjual kenderaan pertama mereka pada tahun 2019. 20% pegangan saham syarikat dimiliki oleh Stellantis dan firma ini merancang untuk membawa masuk jenama ini ke EU. Di sini, Leapmotor memperkenalkan SUV C10 EV dalam saiz segmen D pada harga RM 149,000

16. MAXUS – merupakan sebahagian daripada kumpulan automotif UK iaitu Leyland (LDV Leyland Daf Van) yang telah menutup operasi mereka pada tahun 2009 akibat kegawatan ekonomi global. Jenama ini kemudian dibeli oleh SAIC bagi operasi kenderaan komersial

Maxus pernah membawa masuk MPV G10 yang dikuasakan dengan enjin 2000cc petrol turbo. Bagi tahun 2024, Maxus melancarkan MPV elektrik sepenuhnya dengan kapasiti 7 penumpang yang boleh dipandu sehingga 435km untuk satu pengecasan penuh

17. MG – Morris Garage adalah sebuah syarikat legasi automotif UK diasaskan pada tahun 1924, sebelum hakmilik jenama ini dibeli oleh Nanjing Automobile Corporation pada tahun 2005. Syarikat Nanjing kemudian dibeli oleh SAIC dan MG beroperasi di bawah SAIC

SAIC kemudian membekalkan pelbagai platform kepada MG bagi menghasilkan pelbagai model yang menarik daripada trenkuasa hibrid dan juga elektrik sepenuhnya dengan pengenalan seperti MG3, MG4, MG5 dan juga kereta elektrik roadster Cyberster

18. NETA – jenama ini diuruskan oleh Hozon Auto New Energy Automobile Co. Ltd. yang merupakan sebuah syarikat yang baru ditubuhkan pada tahun 2014. Neta boleh dikategorikan sebagai kereta elektrik mampu milik dengan harga mampu milik di China.

Namun beberapa kejadian yang tular seperti isu kebakaran, gagal ujian keselamatan, kegagalan bateri dan rekaan yang buruk menjadikan model ini tidak mendapat sambutan yang meluas. Laporan global juga menunjukkan Neta mengalami masalah kewangan sehingga menyebabkan operasi kilang mereka terjejas

19. SMART – jenama ini dibeli oleh kumpulan Geely dengan usahasama kumpulan Mercedes Benz AG bagi menghasilkan kenderaan elektrik dengan menggunakan platform SEA dari Geely. Antara model Smart termasuklah Smart #1, Smart #3 dan Smart #5 dengan penjualan di sini dilakukan oleh Pro-Net iaitu subsidiari Proton

20. XPENG – merupakan jenama yang baru ditubuhkan pada tahun 2014 dengan operasi di Malaysia dikawal selia oleh kumpulan Bermaz. Xpeng menawarkan SUV elektrik Xpeng G6 EV pada harga RM 166,000 sebagai model yang akan berlawan terus dengan model Y. Xpeng juga akan membawa masuk sebuah lagi MPV iaitu X9 pada tahun 2025

21. ZEEKR – Selain memiliki jenama Smart, Geely juga memiliki satu lagi jenama yang baru ditubuhkan khusus untuk menghasilkan kereta elektrik premium mewah. Semua model Zeekr dihasilkan daripada platfrom SEA seperti SUV 001, Sedan 007, MPV 009 dan juga SUV X. Model Zeekr 009 bakal dilancarkan pada tahun 2025 di Malaysia nanti

Secara keseluruhan, terdapat 150 jenama kereta di China dengan 97 jenama adalah jenama asal dari China dan 43 jenama lagi adalah jenama JV dengan syarikat luar. Akibat persaingan domestik yang sengit, kebanyakan jenama China akan cuba mengeksport produk mereka ke seluruh dunia.

Google ads
Back to top button