Buletin

PROTON X70 FACELIFT 2025 DILANCARKAN. BERMULA RM99K, TAWARAN ISTIMEWA UNTUK 3,000 PEMBELI PERTAMA

68 bulan selepas pelancarannya pada 12 Disember 2018, Proton akhirnya melancarkan X70 versi yang telah dipertingkatkan ke pasaran Malaysia. 

SUV segmen C tersebut tampil dengan bahagian luar yang dikemas kini, ciri baharu untuk ruang kabin, teknologi ADAS 2.0 lebih maju serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto buat pertama kalinya pada model Proton.

Ciri itu akan ditawarkan kepada pemilik tanpa kos tambahan melalui kemas kini over-the-air (OTA) setelah semua pelesenan diluluskan.

Sejakpelancaran versi pertama, PROTON X70 nyata menjadi pilihan pelanggan dengan lebih 100,000 unit terjual dan menerima tujuh anugerah berprestij. Rakan globalnya, Geely Boyue juga telah mencapai kejayaan jualan melebihi 1.8 juta unit terjual di 49 negara di seluruh dunia. 

“Pelancaran PROTON X70 2025 adalah bukti bagaimana PROTON memasuki fasa seterusnya dalam kerjasama dengan Geely. 

“Dengan begitu banyak pencapaian sepanjang 18 bulan lalu, daripada pelancaran X90 dan S70 kepada pengenalan EV dari smart, serta pembukaan pusat R&D di China dan pelancaran e.MAS, adalah mudah bagi pelanggan untuk lupa betapa jauhnya syarikat telah berkembang sejak pelancaran SUV pertama kami pada tahun 2018,” lata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong. 

PROTON X70 2025 menerima reka bentuk luar yang diperbaharui dengan elemen dan perincian baharu. Ia dipengaruhi oleh maklum balas pelanggan dan keinginan untuk menambah identiti Malaysia pada penampilannya.

Ciri baharu yang paling ketara ialah gril hadapan yang lebih besar dengan elemen corak songket yang mengelilingi logo Proton, dibingkai oleh lampu hadapan trapezoid baharu yang terdiri daripada 47 unit LED. 

Bampar dan fender hadapan baharu membuatkan penampilannya semakin agresif. Manakala bampar dan skirting belakang baharu menonjolkan gaya di bahagian belakang. Rupa itu dilengkapkan dengan rim aloi dua tona 19 inci. 

PROTON X70 2025 dikuasakan oleh enjin turbo 1.5-liter yang dipasang oleh PROTON di kilang enjin di Tanjong Malim. Menghasilkan 177 PS dan 255Nm tork, ia dipadankan dengan transmisi dual-klac 7-kelajuan untuk pertukaran gear yang cepat, senyap dan empat peratus lebih menjimatkan bahan api. 

Di ruang kabin, SUV itu hadir dengan padanan warna kelabu premium untuk varian 1.5 TD Premium dan Premium X. Dua varian teratas juga menerima ciri pencahayaan ambien dalam bentuk lampu LED pada panel instrumen yang mempunyai 72 pilihan warna dan boleh bergerak mengikut irama muzik yang dimainkan.

Semua varian menerima skrin terapung 12.3 inci yang menampilkan unit 4GB RAM dan 32GB ruang penyimpanan. Ciri pengenalan suara yang membolehkan akses kepada pelbagai fungsi melalui arahan suara “Hi PROTON” dan Sistem Penapis Udara Pintar Proton (PIAPS) juga dikekalkan pada semua varian. 

PROTON turut menambah ciri  ADAS 2.0 untuk varian Premium dan Premium X. Sistem tersebut mempunyai 13 sistem keselamatan aktif yang terdiri daripada Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) dengan berhenti dan pergi, Kawalan Pelayaran Pintar (ICC), Amaran Perlepasan Laluan (LDW), Pencegahan Perlepasan Laluan (LDP), Kawalan Pusat Laluan (LCC), Bantuan Tukar Laluan (LCA), Amaran Trafik Silang Belakang (RCTA), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Membuka Pintu (DOW), Maklumat Tanda Trafik (TSI), dan Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC).

Melengkapi peralatan ADAS adalah senarai panjang sistem keselamatan yang disertakan pada semua varian PROTON X70 2025. Ini termasuklah enam Airbag SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengedaran Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Auto Brake Hold, Kawalan Keselamatan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Traksi (TCS), Bantuan Pegangan Bukit (HHA) dan Kawalan Turun Bukit (HDC).

Bagi meraikan pelancaran ini, PROTON menawarkan nilai tambah bernilai RM23,000 tanpa kos tambahan kepada 3,000 orang pelanggan pertama yang mendaftar PROTON X70 2025 mereka sebelum 31 Ogos 2024. 

Model baharu itu juga datang dengan jaminan tanpa had selama lima tahun, pakej data lima tahun dengan 1GB sebulan, dan enam servis buruh percuma. PROTON X70 2025 kini boleh ditempah secara dalam talian di https://www.proton.com/en/find-a-car/protonx70 dan di pusat pameran sah PROTON.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button