
PEMBELI HYPERCAR TIDAK BERFIKIR SEPERTI BANGSA #BAIKBELI – BEZA LANGIT DENGAN BUMI
Kalau kita perhatikan pada bahagian komen setiap artikel ataupun berita tentang model-model yang baharu dilancarkan mesti ada komen yang berbunyi “baik beli kereta B kalau ada duit sebanyak tu sebab harganya lebih kurang dan ada pelapik kaki warna merah berbanding kereta A”. Kalau yang dah tentu tak mampu macam kita ni setiap kali Ferrari baharu keluar contohnya mesti akan ada yang sebut, “harga nak sama dengan Lamborghini baik ambil Lambo terus”.

Disinilah perbezaan cara berfikir antara orang betul-betul kaya (jutawan terkejut macam founder kosmetik dan scam tak termasuk) dan orang tak kaya langsung macam kita. Percayalah, mereka yang mampu membeli sebuah Ferrari 12Cilindri baharu tak ada masalah pun nak beli sebuah lagi Lamborghini Revuelto pada masa yang sama.
Inilah salah satu sebab kenapa kereta mahal-mahal tak payah belanjakan duit untuk pengiklanan. Buat apa nak iklan kalau bakal pelanggan mereka semua dah ada dalam rekod. Tesla dulu nampak hebat sebab gunakan kuasa viral dan media sosial tapi kini akhirnya terpaksa mula iklankan produk mereka dekat Google. Nampak sangat tak power kan?

Pemain-pemain besar seperti Rolls-Royce, Pagani, Koenigsegg, Hennessey, Bugatti dan Rimac memang tak perlu bergantung kepada iklan pop-up untuk mencari pelanggan dan memberitahu dunia tentang kewujudan mereka.
Bugatti pernah mendedahkan sedikit data satu ketika dulu dan menurut pengeluar ternama dari Perancis itu, pemilik Bugatti paling sederhana biasanya memiliki 84 buah kereta, 3 buat pesawat terbang dan sebuah kapal layar! Ya, mereka bukan orang kebanyakan yang terpaksa minta jurujual hantar 9 set borang permohonan pinjaman 9 tahun ke 9 buah bank untuk membeli sebuah kereta kompak spek paling bawah.
Biasanya untuk model-model high-end ni, pengeluar akan menjemput bakal-bakal pembeli yang berpotensi menghadiri acara khas dengan layanan tahap 10 bintang. Ketika kita semua baharu dapat saksikan di laman web, bakak pembeli dan pun melihatnya di depan mata. Biasanya masa kita tengok tu semua unit sudah pun terjual.

Biasanya dalam acara seumpama itu kebanyakan jemputan memang sekepala. Tak ada sesiapa yang rasa nak menunjuk jam Rolex yang dipakai di pergelangan tangan ataupun aksesori kulit LV yang belum tentu original.
Paling menarik tentu sekali perbualan orang kaya yang sentiasa memuji kenderaan yang dibeli sesama mereka. Diorang tak macam kita yang sibuk dok banding sama ada Golf R adalah lebih laju dari GR Corolla di atas litar. Sebab mereka biasanya akan beli terus kedua-dua kereta tadi. Kita je yang sibuk dok berdebat tapi akhir sekali beli Myvi spec G.
Jadi nampak tak perbezaan antara dua darjat di situ. Kita asyik dok berbincang kereta mana yang lebih baik untuk dibeli. Diorang pula terus menambah koleksi kereta-kereta sebaik sahaja satu-satu model dilancarkan.
