Buletin

RADAR RD6 – TRAK PIKAP ELEKTRIK, JARAK GERAK 600 KM, GUNA PLATFORM GEELY SEA

Geely baru-baru ini telah melancarkan jenama baharu Radar Auto, dan serentak dengan itu mereka turut memperlihatkan model pertama mereka – sebuah trak pikap berkuasa elektrik.

Dari segi dimensi, Radar RD6 merupakan sebuah trak pikap saiz pertengahan dengan ukuran sepanjang 5,260 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,830 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,120 mm.

Dibangun menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA), trak pikap ini dilengkapi dengan trenkuasa motor elektrik tunggal (atau motor elektrik berkembar) dengan jarak gerak sejauh 600 km untuk sekali cas penuh.

Menurut laporan CarNewsChina, versi motor elektrik tunggal mampu menghasilkan kuasa 268 hp yang memacu roda belakang, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa enam saat.

Pek bateri berkapasiti 100 kWh dan menyokong pengecasan pantas 120 kW.

Dari segi rupa luaran, ia membawakan banyak rujukan elemen daripada SUV Geely Haoyue (Geely Okavango), dengan penambahan bed kargo di bahagian belakang dan penawaran saiz rim sebesar 17 inci.

Untuk ruang kabin, ia membawakan susun atur yang hampir serupa dengan model SUV Haoyue, dengan skrin kluster digital dan skrin infotainmen 12.3 inci, paparan head-up 9.0 inci, serta rekaan tombol gear yang sedikit berbeza.

Struktur bed kargo pula menampilkan outlet kuasa 6 kW untuk kegunaan barangan elektrik seperti peti sejuk kecil, kipas, barangan elektronik serta turut menyokong pengecasan vehicle-to-vehicle (V2V).

Terdapat ruang storan di bahagian frunk dengan kapasiti sebesar 70 liter, dan ruang storan tambahan di bahagian bawah tempat duduk sebesar 48 liter.

Geely bakal mendedahkan spesifikasi penuh serta harga jualan trak pikap elektrik RD6 ini pada bulan depan. – CarNewsChina

Google ads
Back to top button