
MAAF, MAZDA TAK BUAT RX-9. ROTARY? MUNGKIN JADI HYBRID. OH TIDAAAKKKKK!!!!!!
Ini mungkin merupakan khabar sedih buat peminat model sports Mazda khususnya yang mengharapkan untuk melihat RX-9. Berdasarkan desas desus sebelum ini, RX-9 merupakan pengganti kepada RX-7 dan RX-8 yang cukup dikenali dengan teknologi enjin rotary yang ada padanya. Kita juga sememangnya arif dengan kemampuan Mazda untuk menghasilkan kereta-kereta yang hebat sejak sekian lama. Malah ramai yang sudah terpukau dengan model konsep RX-Vision yang dikatakan akan diproduksikan sebagai RX-9. BACA – RED SUNS RX7 FC3S YANG MEMUKAU BACA – MAZDA SKYACTIV, REVOLUSI ENJIN MODEN Namun itu sudah menjadi angan-angan kosong kerana Mazda tidak berminat untuk menghasilkannya dan lebih fokus kepada model ‘adiknya’ iaitu MX-5 Miata. Dalam satu temuramah media dengan CEO Mazda, Masamichi Kogai cuma menjawab “tidak” bila ditanya sama ada Mazda mempunyai rancangan untuk menghasilkan kereta sports yang lebih besar. Kogai juga ditanya tentang sebarang pembangunan untuk enjin rotary. Beliau mengatakan yang kemungkinan enjin rotary masa hadapan akan digabungkan dengan teknologi hybrid. Beliau mendakwa enjin 1.5-liter dan 2.0-liter Mazda adalah lebih menarik. Rasanya itu bukanlah jawapan yang diinginkan oleh semua penggemar enjin rotary terdahulu mahupun sekarang. Rata-rata peminat masih inginkan pengganti RX-8 dikeluarkan dengan enjin yang lebih berkuasa. Tetapi tidak dinafikan trend sekarang ialah ramai pengeluar lebih cenderung kepada enjin berkapasiti kecil berbanding 10 atau 20 tahun dulu. Ini mungkin berikutan faktor ekonomi yang makin merudum ataupun pasaran kenderaan yang agak lesu bagi kereta-kereta kelas premium. Kos pengeluaran yang semakin meningkat bermakna harga sesebuah kereta juga semakin mahal. Dengan mengurangkan kapasiti enjin mungkin sedikit sebanyak membantu pengeluar dan pengguna menjimatkan kos. Faktor ini mungkin juga didorong oleh masalah yang dihadapi Mazda untuk memenuhi standard piawaian keluaran gas ekzos dalam pembangunan enjin rotary baru mereka.

Walaupun enjin rotary mempunyai banyak kelebihan seperti nisbah kuasa kepada berat yang tinggi, saiz yang kompak dan memiliki putaran enjin yang tinggi, ia sebenarnya tidaklah begitu menjimatkan bahan api dan mengeluarkan gas ekzos yang banyak. Di samping itu juga, walaupun model sports coupe berkuasa tinggi dikatakan mampu menaikkan prestij dan nama Mazda di mata dunia ia sebenarnya tidaklah begitu praktikal bagi Mazda yang merupakan pengeluar tunggal berskalakecil. Mereka perlukan model yang boleh dipasarkan secara besar-besaran. Bahkan untuk menghasilkan sebuah model baru dengan enjin yang unik sememangnya satu proses yang menelan belanja yang cukup tinggi. Meletakkan lencana RX pada sebuah model dengan enjin biasa rasanya memang tidak kena pada tempatnya, jadi usahlah menaruh harapan model RX baru akan dikeluarkan dalam jangkamasa terdekat. Pembangunan model-model sebegini sebenarnya tidak sama dengan pembangunan model-model kereta kegunaan seharian lain. Pelbagai aspek harus dinilai sebelum ia benar-benar berjaya diluluskan untuk pasaran. Apatah kereta-kereta sport siri RX Mazda ini merupakan kereta yang dilengkapi dengan enjin unik yang tidak terdapat pada model lain. Jika ada yang bercita-cita untuk melihat RX-9 baru bersaing dengan GTR ataupun Supra baru maka anda harus bersabar kerana ia tidak mungkin berlaku dalam jangka masa terdekat. Mungkin jika pasaran Mazda semakin berkembang dan mereka mempunyai modal yang secukupnya, tidak mustahil ketika itu RX-9 akan dilancarkan kembali, mungkin?

Apapun, Mazda RX-7 terdahulu sememangnya mempunyai peminatnya yang tersendiri. Jumlahnya yang tidak banyak menjadikan nilainya melambung tinggi walaupun sebenarnya ia sebuah model yang agak cerewet untuk dijaga. Harga di pasaran terpakai masih lagi berada di atas paras RM55K berbeza dengan RX-8 yang boleh didapati pada harga serendah RM35K. Tetapi siapa tahu, mungkin dengan kenyataan bahawa Mazda tidak akan menghasilkan RX-9 akan meningkatkan harga RX-8 berikutan dengan nilai estetik yang ada padanya. Jadi bagi pemilik-pemilik RX-7 dan RX-8, jagalah kereta anda dengan sebaik mungkin, minyak pelincir dan apex seal memang mesti selalu diperhati (kau yang pakai Myvi Taliban memang tak faham punya)