Buletin

AUDI Q7 S LINE SUV PERTAMA DILANCARKAN SECARA CKD DI MALAYSIA

Audi Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila memperkenalkan SUV pertamanya yang dipasang secara tempatan – Audi Q7 S line.

Model dengan konfigurasi tujuh tempat duduk ini bukan sahaja menjadi produk sulung Audi dipasang dalam negara, malah merupakan model Audi CKD pertama di Asia Tenggara, menandakan satu langkah besar dalam strategi jenama itu di rantau ini.

Dipasang di fasiliti Volkswagen Group Malaysia (VGM) yang terletak di Pekan, Pahang, kilang sama yang turut mengeluarkan model Volkswagen untuk pasaran Malaysia – Q7 membuka lembaran baharu untuk Audi dalam memperkukuh kehadiran dalam segmen mewah.

Dengan kerjasama DRB-HICOM sebagai rakan pengilangan kontrak, kemudahan ini telah menerima pelaburan lebih RM12 juta, membolehkan kapasiti pengeluaran sehingga 5,000 unit setahun.

Ini juga selaras dengan usaha Malaysia untuk menjadi hab pembuatan automotif berteknologi tinggi menerusi Dasar Automotif Nasional (NAP).

Audi Q7 S line CKD kini dibuka untuk tempahan dan dijangka dilancarkan secara rasmi menjelang Mei 2025, dengan harga anggaran antara RM469,000 hingga RM489,000.

Sebagai SUV flagship Audi, Q7 tampil bergaya dengan garis rekaan maskulin dan kemasan elegan. Versi CKD ini didatangkan terus dengan pakej S line dan Black Styling Package Plus sebagai standard – memperlihatkan gril Audi Singleframe serta lencana Q7 dalam tona anthracite yang garang.

Tidak ketinggalan, rim aloi Audi Sport bersaiz 22-inci dengan rekaan 5-V spoke melengkapkan lagi aura sporty SUV ini, disertakan spoiler belakang yang tajam.

Sistem pencahayaan pula adalah gabungan teknologi terkini – lampu utama jenis HD Matrix LED dengan Audi Laser Light untuk penglihatan lebih tajam dan jangkauan lebih jauh, manakala di belakang, lampu Digital OLED memberikan sentuhan moden dengan animasi khas.

Empat warna disediakan untuk pembeli Malaysia:

  • Glacier White
  • Waitomo Blue
  • Mythos Black (metallic)
  • Daytona Grey Pearl

Masuk ke dalam, ruang dalaman Q7 S line didekorasi dengan balutan kulit Valcona berkualiti tinggi serta tempat duduk Sports Seat Plus.

Logo S serta jahitan premium menyerlahkan identiti sporty Audi, manakala stereng rata dengan paddle shifter menambah keterujaan pemanduan.

Ambient Lighting Package Plus dengan 30 warna membolehkan pemilik mencipta suasana dalaman mengikut citarasa, menjadikan setiap perjalanan lebih personal.

Dengan susun atur fleksibel tujuh tempat duduk, barisan ketiga juga menawarkan ruang cukup selesa untuk orang dewasa, menjadikannya ideal untuk keluarga besar.

Ciri pintu Power Latching yang menutup pintu secara senyap secara automatik menyuntik kemewahan, sementara fungsi urutan untuk tempat duduk hadapan, sistem penyaman udara 4 zon, pengecas tanpa wayar, pintu but kendalian kaki dan sistem audio premium 3D Bang & Olufsen melengkapkan senarai kelengkapan mewah dalam kabin.

Q7 dikuasakan enjin V6 3.0L TFSI yang digandingkan dengan sistem Mild Hybrid 48V (MHEV), menghasilkan 340PS dan 500Nm tork. Ia mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 5.6 saat, sambil mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Sistem pacuan semua roda quattro dan transmisi automatik 8-kelajuan Tiptronic memastikan pemanduan sentiasa terkawal, tidak kira di lebuh raya mahupun laluan mencabar.

Tambahan pula, sistem suspensi udara adaptif jenis sport dan teknologi All-Wheel Steering memberikan kelebihan dari segi kestabilan serta kemudahan manuver dalam kawasan sempit.

Dengan sistem Audi Drive Select, pemandu boleh memilih antara tujuh mod pemanduan mengikut keadaan jalan atau mood semasa – sama ada ingin mengekalkan keselesaan atau menikmati pengalaman pemanduan yang lebih agresif.

Google ads
Back to top button