Buletin

RENAULT ESPACE 2026 – TAMPIL DENGAN REKAAN YANG LEBIH SEGAR DAN MODEN

Barangkali, Renault Espace ini kita lebih mengenalinya sebagai sebuah model MPV keluarga yang besar dan kelihatan seperti pakcik – pakcik sahaja sang pemiliknya. Itu barangkali ketika membabitkan lima generasi Renault Espace terdahulu. Tetapi kini seiring dengan peredaran zaman, Renault telah memberikan definasi yang lebih moden untuk plat nama Espace. Bermula generasi keenam ketika mula diperkenalkan pada tahun 2023, ianya telah dikenali sebagai sebuah model SUV yang moden dan terkini.

Dan kini, untuk model keluaran tahun 2026, Renault bertindak pantas untuk memberikan rupa yang lebih segar dan moden terhadap model Renault Espace ini.

Masih lagi mengekalkan ciri sebagai sebuah model kenderaan keluarga, ianya akan ditawarkan dengan kapasiti lima atau tujuh tempat duduk tetapi kini tampil dengan perubahan yang agak ketara membabitkan fascia hadapan berbanding model keluaran sebelumnya.

Rekaan lampu utama LED dan DRL yang seperti bercamtun dari atas ke bawah dan tidak lawa itu kini telah digantikan dengan rekaan yang lebih minimalis dan tajam serta lampu DRL kini dipisahkan atas bawah di hujung bampar yang turut direka baharu. Malah, rekaan gril juga diberikan sentuhan baharu dengan logo Renault kini berada di bahagian dalam dan tengah gril.

Rekaan bahagian belakang juga kini turut menerima sentuhan baharu agar tampil dengan lebih minimalis dan tidak lagi serabut. Rekaan perumah rumah belakang masih lagi dikekalkan tetapi yang paling ketara adalah ketiadaan reflektor bahagian belakang yang memanjang dari hujung ke tengah dan hampir menyambung dengan logo Renault di tengah.

Seiring dengan perubahan ini, warna baharu Baltic Blue Grey turut ditawarkan kepada pembeli dengan warna lain Midnight Blue, Pearl White juga ditawarkan. Starry Black.

Renault Espace baru ini adalah merupakan kenderaan pertama keluaran Renault yang mempunyai tanda pengenalan pemandu dengan terdapat sebuah kamera kecil di pilar A bersebelahan yang akan mengaktifkan profil pemandu seperti tetapan radio pilihan, kedudukan kerusi pemandu serta aplikasi Google melalui sistem pautan OpenR.

Tempat duduk kini dibalut dengan upholsteri baharu untuk lebih keselesaan serta dilengkapi dengan rekaan papan pemuka bertingkat dan menggunakan tekstil (varian Techno), Alcantara (varian Alpine) & kemasan kayu jati (varian Iconic).

Model yang dibina berdasarkan platform CMF-CD ini sememangnya cukup luas dan selesa sekiranya pembeli memilih lima tempat duduk walau bagaimana pun untuk varian tujuh tempat duduk masih memiliki sehingga 520 liter di bahagian kargo.

Trenkuasa masih lagi menggunakan enjin hibrid E-Tech 1.2 liter turbocaj 3 silinder yang mampu menghasilkan kuasa 130 HP dan 205 Nm dan juga dua motor elektrik yang menghasilkan output tambahan 70 HP. Enjin hibrid ini dipadankan dengan kotak gear dogbox tanpa klac auto tetapi telah dilengkapi dengan perisian baharu bagi membolehkan pemanduan yang lebih responsif.

Sistem ADAS level 2 melengkapi ciri keselamatan moden yang ada pada Renault Espace baharu ini.

BACA : RENAULT SYMBIOZ – AHLI KELUARGA SUV TERBAHARU DARIPADA RENAULT

BACA : RENAULT AUSTRAL 2025 TAMPIL LEGIH ELEGAN DAN KEMAS

Google ads

B K

Back to top button