
TRIUMPH SCRAMBLER 400 XC 2026 DIUMUMKAN – RIM LIDI, 39.5HP
Triumph Motorcycles menemukan resepi kejayaan baharu sejak memperkenalkan Speed 400 dan Scrambler 400 X bermula tahun 2024.
Pelancaran kedua-dua model itu menyaksikan Triumph melakar rekod jualan tertinggi di Britain. Selain itu lebih 100,000 unit berjaya dijual dalam tempoh 12 bulan di pasaran global yang menandakan kali pertama angka itu tercapai sepanjang 122 tahun penubuhan Triumph Motorcycles.
Triumph turut merekodkan peningkatan jualan sebanyak 63 peratus pada tahun 2024 dengan 134,636 unit berbanding 84,985 unit pada 2023. Menariknya, pasaran India sahaja merekodkan jualan lebih 30,000 unit.

Memandangkan kerjasama dengan Bajaj itu menampakkan hasil yang mengagumkan, Triumph sekali lagi mempertaruhkan model 400cc bagi tahun 2026 kali ini dengan Scrambler 400 XC.
Perbezaan utama antara XC dan Scrambler 400 X terarah pada aspek kosmetik bermula dengan penggunaan rim jenis spoked (lidi) aluminium dari Excel. Rim tersebut juga membenarkan penggunaan tayar jenis ‘tubeless’.

Penggunaan rim lidi itu secara langsung mewujudkan rupa keseluruhan yang lebih agresif dan lasak berbanding Scrambler 400 X. Namun begitu, penggunaan tayar 19-inci depan depan 17-inci belakang masih lagi dikekalkan.
Fork depan jenis terbalik (upside/down) 43mm dan monoshock belakang masih lagi sama dengan jarak gerak 150mm.

Selain itu, versi XC ini juga datang dengan fender depan yang lebih tinggi termasuk pelindung lampu (headlight cowl). Triumph juga memasang ‘bash plate’ secara standard.
Dalam pada itu, gabungan warna dua tona juga menghasilkan gaya scrambler tahun 70an.

Sementara itu, Scrambler 400 XC ini masih lagi digerakkan enjin satu silinder 398cc DOHC yang berupaya menjana 39.5hp pada 8,000rpm dan 37.5Nm pada 6,500rpm.
GALERI: TRIUMPH SCRAMBLER 400 XC






















