Buletin

RENTAS NEGERI GUNA LALUAN TIKUS, 24 INDIVIDU DIKOMPAUN DI PULAU PINANG

Seramai 24 individu ditahan polis dan dikenakan kompaun kerana menggunakan dua laluan tikus di Lorong Tengah Jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor untuk merentas negeri. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor memberitahu pihaknya  mula menjalankan pemeriksaan di laluan tersebut sejak 27 Mei lalu melalui Op Covid-19.

Jalan tersebut mempunyai dua lorong berasingan yang menghubungkan Kedah dan Pulau Pinang. Jadi, ia dilalui oleh penduduk di sempadan kedua-dua negeri untuk merentas negeri tanpa kebenaran.

“Bertindak atas maklumat yang kita peroleh, Pasukan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Ibu Pejabat Polis Daerah SPU menemui dua jalan tikus di Lorong Tengah Jalan Kampung Selamat, tiga hari lalu.

“Hasil pemeriksaan sehingga semalam, kita berjaya menahan 24 individu iaitu 21 lelaki, dua wanita dan seorang lelaki warga Vietnam. Kesemua mereka turut dikompaun RM1,000 kerana didapati cuba merentas negeri menggunakan laluan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Mereka yang ditahan didapati melakukan pergerakan dari Kedah ke Pulau Pinang tanpa surat kebenaran rentas negeri daripada polis.

“Mereka juga mengaku menggunakan jalan tersebut bagi mengelak daripada ditahan polis. Kesemua didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020,” kata Noorzainy.

Menurut beliau lagi, seramai 46 orang ditahan dan dikompaun di Stesen Keret Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Butterworth sejak 23 Mei hingga semalam. – Sinar Harian

Tags
Google ads
Back to top button