
XPENG SASAR AUTONOMI PENUH DALAM 3 TAHUN, VLA 2.0 JADI TARUHAN
XPENG mengumumkan langkah baharu dalam pembangunan teknologi pemanduan pintar apabila mengesahkan sistem VLA 2.0 bakal dihantar ke pasaran global bermula tahun 2027.
Perkara itu didedahkan ketika acara “The Future” VLA Media Experience Day, yang turut memperincikan pelan peluasan antarabangsa serta seni bina terbaharu sistem berkenaan.
Menariknya, Volkswagen dipilih sebagai rakan pelancaran pertama bagi teknologi VLA 2.0 di pasaran China, satu kerjasama strategik yang memberi gambaran jelas tentang keyakinan industri terhadap platform baharu ini.
Dalam masa sama, Robotaxi XPENG yang dilengkapi VLA 2.0 sudah pun memulakan ujian di jalan raya awam, dengan operasi percubaan dijadualkan bermula hujung tahun ini. Ujian antarabangsa juga bakal menyusul sebelum penghantaran global dilaksanakan pada 2027.

Lebih Pintar, Kurang Bergantung Peta HD
Berbeza daripada sistem pemanduan autonomi modular konvensional, VLA 2.0 menggabungkan elemen persepsi, penaakulan dan tindakan dalam satu model asas AI yang menyeluruh. Pendekatan ini mengurangkan kebergantungan terhadap peta definisi tinggi serta sistem berasaskan peraturan statik.
Hasilnya, sistem mampu mentafsir persekitaran dunia sebenar yang kompleks dan memberikan respons yang lebih semula jadi, seakan gaya pemandu berpengalaman.
Ujian awal menunjukkan prestasi kukuh dalam trafik bandar padat serta situasi lalu lintas bercampur.
VLA 2.0 turut direka untuk mengenal pasti situasi mencabar seperti kenderaan bergerak tidak menentu, lokasi kemalangan atau permukaan jalan tidak rata, sebelum bertindak secara proaktif bagi memastikan perjalanan lebih selamat dan lancar.

Sasaran Autonomi Penuh Dalam 1–3 Tahun
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif XPENG, He Xiaopeng, VLA 2.0 ialah versi pertama yang dibangunkan dengan matlamat mencapai pemanduan autonomi penuh.
Beliau menjangkakan teknologi tersebut akan berkembang pesat dalam tempoh satu hingga tiga tahun akan datang, sekali gus menjadikan pemanduan autonomi sebahagian rutin harian pengguna.
Keupayaan “drive-anywhere” menjadi antara fokus utama. Sistem ini bukan sahaja berfungsi di lebuh raya atau laluan bandar, malah mampu mengendalikan lorong kampus, jalan tanah luar bandar serta laluan sempit tanpa navigasi jelas.
Ia juga boleh memulakan perjalanan dari keadaan pegun, menawarkan pengalaman bantuan pemanduan menyeluruh dari awal hingga akhir.

23 peratus Lebih Cekap Dalam Trafik Sebenar
Dari segi kecekapan, XPENG mendakwa VLA 2.0 meningkatkan efisiensi pemanduan sehingga 23 peratus.
Dalam ujian ketika waktu puncak di Guangzhou, prestasinya dilaporkan mengatasi sistem bantuan pemanduan Tahap 2 tradisional serta beberapa model Robotaxi lain, malah menghampiri tahap kemahiran pemandu manusia berpengalaman.
Seni Bina AI Generasi Baharu
Jika model VLA konvensional menggunakan aliran berperingkat, daripada penglihatan kepada bahasa sebelum menghasilkan tindakan, VLA 2.0 menampilkan seni bina hujung-ke-hujung (vision-to-action).
Ini membolehkan sistem menukar input visual terus kepada keputusan pemanduan tanpa lapisan terjemahan pertengahan, sekali gus meningkatkan kelajuan respons dan kecekapan.
Lebih Daripada Sekadar Kereta
XPENG turut menjelaskan bahawa model asas AI di sebalik VLA 2.0 tidak terhad kepada kenderaan penumpang. Seni bina sama sedang diaplikasikan kepada armada Robotaxi, robot humanoid serta sistem kenderaan terbang modular.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi Physical AI XPENG, yang menyasarkan pembangunan satu platform AI bersatu untuk menggerakkan mesin pintar dalam persekitaran dunia sebenar.
Dengan pelaksanaan ujian global dan penghantaran bermula 2027, VLA 2.0 dilihat sebagai langkah besar XPENG dalam perlumbaan teknologi pemanduan autonomi peringkat antarabangsa.







