
SAFETY CAR F1 ASTON MARTIN VANTAGE BAHARU – PENUH DENGAN SKRIN DAN BUTANG WOO
Kalau sebelum ini kereta keselamatan ataupun Safety Car F1 disifatkan sebagai sangat perlahan oleh Max Verstappen kini mungkin tidak lagi. Aston Martin nyata mengambil perhatian tentang perkara tersebut dan menambah lagi kuasa maksima Vantage baharu sebanyak 153hp menjadikan keseluruhan kuasa maksima supercar ini 656hp. Ia bakal beraksi buat pertama kali di Saudi Arabian GP 2024.

Jika dibandingkan dengan versi Vantage yang diperkenalkan hujung bulan lepas, safety car F1 ini mempunyai splitter hadapan yang lebih menonjol dan wing belakang yang lebih besar. Kesemuanya adalah sebahagian daripada pakej aerodinamik komprehensif yang ditawarkan untuk model ini.
Ia termasuklah pengubahsuaian bahagian underfloor supaya memberikan aliran udara yang lebih baik.

Bukan itu sahaja, light bar yang dipasang diatas bumbung pun merupakan rekaan khas dengan ciri aerodinamik yang lebih baik. Nampak tak bentuknya macam sayap pesawat terbang?
Bahagian dalaman sudah tentu berbeza berbanding model asal. Tempat duduk asal dikeluarkan dan digantikan dengan sepasang tempat duduk perlumbaan Recaro Pole Position siap dengan tali pinggang keledar keselamatan perlumbaan.
Aston juga mengubahsuai bahagian konsol tengah dan meletakkan butang-butang dan suis-suis yang menepati piawaian sistem FIA. Ini bukan butang-butang dari kedai aksesori yang korang biasa pergi bila dapat bonus tu okey.

Sepasang skrin besar memaparkan kedudukan kesemua jentera F1 di atas litar siap dengan catatan masa secara langsung. Ia juga mempunyai sistem kamera lengkap untuk pemantauan.
Berbeza dengan safety car Mercedes-Benz yang berwarna perak, Aston Martin memilih warna hijau yang dinamakan Lime Essence di bahagian dalam dan British Racing Green mereka yang ikonik di bahagian luar.
Sejak 2021, Aston Martin dan Mercedes telah berkongsi tugas mengoperasikan safety car F1. Untuk musim terbaru Mercedes telah menyediakan AMG GT Black Series sebagai safety car dengan 720hp kuasa maksima. Sebagai seorang yang berkeyakinan tinggi dan kacak seperti James Bond kami rasa Aston Martin ni lebih bergaya dan ranggi. Maaf Mercedes, jangan kecil hati okey.
