KTM 390, 990 DUKE DAN 1390 SUPER DUKE R 2024 LANCAR APRIL INI
Baru-baru ini kami telah terbang ke Almeria, Sepanyol bagi menghadiri KTM 30 Years Of Duke yang berlangsung di Litar Almeria.
Program tersebut membolekan kami menguji tiga generasi Duke terbaru yang terdiri dari 390 Duke, 990 Duke dan 1390 Super Duke R dan 1390 Super Duke R EVO. Ketiga-tiga model tersebut merupakan model keluaran 2024 yang akan turut diperkenalkan di Malaysia.
Dalam perkembangan terbaru, kami diberitahu bahawa ketiga-tiga model berkenaan akan dilancarkan sekitar lewat bulan April ini oleh pihak Eurotech Wheel yang merupakan pengedar eksklusif jenama KTM di Malaysia.
Walaupun maklumat terperinci tidak didedahkan namun pelancaran itu pastinya akan menggembirakan peminat Duke di Malaysia.
Untuk rekod, KTM 390 Duke mendapat naik taraf besar bagi tahun 2024 yang menyaksikan unit satu silinder 373cc sebelum ini meningkat kepada 399cc sekaligus kini menghasilkan 45hp.
Sementara itu, KTM 990 Duke pula merupakan pengganti kepada 890 Duke. Lebih menarik, 990 Duke itu 96 peratus baru dari 890 Duke dan kini menawarkan 123hp berbanding 119hp sebelum ini.
Dalam pada itu, model perdana (flagship) KTM 1390 Super Duke R menawarkan pengalaman menunggang yang cukup berbeza bagi tahun 2024. Selain dari enjin yang lebih besar, model baharu ini juga menawarkan kelengkapan dan pakej elektronik yang lebih premium. Atas kertas, 1390 Super Duke R menawarkan 190hp dan 145Nm.
Buat masa ini maklumat harga masih dirahsiakan namun segalanya akan terjawab pada bulan April ini.