Buletin

SATU LAGI KEMALANGAN BERJEMAAH BESAR-BESARAN – KALI INI MACAU GP (+VIDEO)

Tuah masih menyebelahi sekumpulan besar pelumba GT World Cup bila 12 buah kereta berlanggar antara satu sama lain dalam insiden yang hampir sama dengan yang berlaku di Nurburgring. Ia membuatkan sedikit kekecohan akibat terlalu banyak pasukan dan kereta yang terlibat dalam perlanggaran tersebut.

Menariknya kemalangan ini bermula seawal pusingan pertama peringkat kelayakan pada hari Sabtu lepas. Belum pun masuk perlumbaan sebenar. Malah kerugian dianggarkan sangat besar kerana kebanyakan kereta yang terlibat merupakan supercar.

Malah hanya empat buah kereta sahaja yang terselamat dan berjaya mengelakkan diri. Selebihnya melanggar kereta-kereta hadapan mereka satu demi satu sehingga membuatkan laluan litar tersumbat terus.

Pengulas sewaktu perlumbaan menyifatkan perlanggaran ini sebagai satu bencana dan yang paling teruk pernah disaksikan beliau dalam perlumbaan GT. Pusingan kelayakan ini terpaksa dihentikan terus kerana terlalu banyak kereta yang mengalami kerosakan.

Pelumba Brazil, Raffaele Marciello dari pasukan Mercedes-AMG GruppeM Racing menyifatkan yang beliau merasa cukup bertuah kerana masih bernyawa selepas kemalangan besar tersebut.

Beliau merasa sangat bertuah dan gembira kerana masih lagi hidup selepas kemalangan itu di litar yang disifatkan sangat istimewa tetapi menakutkan.

Salah seorang pelumba yang terselamat ialah pelumba Jerman, Maro Engel yang gagal memasuki litar untuk pusingan kelayakan tersebut. Beliau hanya mampu melihat kemalangan tersebut melalui kaca televisyen dan berharap semua kereta sempat disiapkan untuk perlumbaan seterusnya. Untung juga jika terlambat kadang-kadang.

BACA: SAAT-SAAT AKHIR SEBELUM KEMALANGAN BERJEMAAH 14 BUAH KERETA DI NURBURGRING (+VIDEO)

Apa yang menakjubkan ialah tidak seorang pun tercedera dalam kemalangan ini tetapi dalam insiden berasingan di litar yang sama, pelumba motosikal British, Daniel Hegarty telah meninggal akibat kemalangan dalam perlumbaan Macau Motorcycle GP.

Pelumba berusia 31 tahun dari Nottingham itu telah terbunuh selepas melanggar penghadang dan tercampak ke luar litar. Beliau disahkan meninggal dalam perjalanan ke hospital. Hegarty merupakan pelumba pasukan Topgun Racing Honda dan merupakan pelumba yang kerap menyertai perlumbaan di Isla of Man TT. Takziah diucapkan kepada keluarga dan sahabat handai beliau.

Google ads
Back to top button