Motosikal

JELAJAH HONDA ASIA JOURNEY 2017 – 570KM, UJI 60 JENTERA HONDA BERBEZA

Sempena acara MotoGP Malaysia 2017 yang berlangsung baru-baru ini, kumpulan syarikat pengedar motosikal Honda di pasaran Asia & Oceania telah menganjurkan acara Honda Asia Journey 2017 (HAJ 2017).

Para peserta HAJ 2017 terdiri daripada hampir 100 orang wartawan serta kakitangan pengedar terbabit dari Malaysia, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Filipina dan India. Mereka menempuh perjalanan sejauh 570km selama empat hari yang berakhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).    

Dihoskan oleh Boon Siew Honda, HAJ 2017 bermula pada 26 Oktober lalu di litar Melaka International Motorsport Circuit (MIMC). Di sana, peserta menjalani proses ‘ujian’ untuk mengetahui tahap keupayaan mereka mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.

Sesi itu juga menyerlahkan kelincahan dan menujukkan betapa motosikal Honda mudah untuk dikendalikan oleh sesiapa sahaja.

Sepanjang HAJ 2017 yang berlangsung hingga Ahad (29 November 2017), Honda menyediakan rangkaian 60 buah motosikal yang dipasarkan di semua pasaran yang dinyatakan tadi.

Antaranya termasuklah Honda CB1100EX, Honda CB1100RS, CB500F, CB500X, CB650F, CBR1000RR, CBR250R, CBR500R, CBR650F,CMX500, Africa Twin CRF1000L, CRF250L, CRF250Rally, CTX1000, CTX1300, F6C, Goldwing GL1800F, NC750J, NC750X, NSS300, Rebel 500, VFR1200X dan X-ADV.

Sesi tersebut melibatkan beberapa ujian seperti slalom, brek kecemasan, membuat pusingan nombor lapan dan simulasi seperti berada dalam kesesakan jalan raya. Maksudnya, penunggang perlu mengawal kelajuan dalam linkungan garisan yang sempit. Dah macam ujian nak ambil lesen B full dengan JPJ.

Walaupun kebanyakan peserta merupakan penunggang berpengalaman, namun mengendalikan motosikal yang memiliki karekter berbeza dalam tempoh singkat memang agak mencabar.

Untuk tidak mengecewakan semua peserta, mereka dibenar untuk menguji motosikal yang diingini di litar penuh MIMC. Dengan permukaan litar yang kurang memuaskan dan berbahaya, saya tidak berani untuk berlebihan ketika memulas pendikit minyak. Kalau kena tak padan, orang kata.

Selama beberapa jam di sini, saya sempat menguji lima buah motosikal sahaja iaitu Rebel 500, CB500R, CB650F dan X-ADV.

Kalau diikutkan memang sikit, tetapi harus tahu bahawa dengan jumlah peserta yang ramai, kekangan masa memang tidak dapat dielakkan. Mujur kami masih ada beberapa hari lagi untuk menunggang baki motosikal yang ada.

Selain sesi tunggang uji, Boon Siew turut melakukan prebiu jentera Honda RC213V-S. Sebagaimana yang anda tahu, Honda RC213V-S ialah model replika yang dibina berasaskan kepada jentera lumba MotoGP Honda RC213V.

Mula diperkenalkan kepada umum sebagai prototaip pada acara pameran motosikal EICMA 2016, ia kemudian dijual kepada awam. Harganya? Kalau di Amerika Syarikat pun harganya sudah mencecah AS$184,000 (RM778,700) seunit, bayangkan harga untuk anda memilikinya di negara bertuah ini.

Keterujaan di litar MIMC diteruskan apabila peserta dibenarkan untuk menunggang uji Honda RC213V-S. Ya, anda tidak salah baca. Kami berpeluang menunggang jentera replika perlumbaan itu di MIMC.

‘Konvoi’ itu diketuai oleh pelumba muda berbakat, Zaqhwan Zaidi. Kami tidak dibenarkan memotong Zaqhwan dengan kelajuan dihadkan kepada 60km/j sahaja. Cukuplah tu…

Selepas sesi di MIMC berakhir, peserta kemudian berkonvoi ke bandar raya Melaka. Sesi tunggangan juga dilakukan pada waktu malam sambil menikmati keindahan bandar raya bersejarah ini. Ia sememangnya pengalaman yang menarik terutama bagi peserta dari luar negara.

Hari kedua melibatkan konvoi dari Melaka menuju ke Bukit Tinggi. Perjalanan sejauh 196km itu melibatkan laluan lebuh raya, selain mendaki dan menuruni bukit. Di sinilah penunggang boleh menguji keupayaan jentera Honda untuk memecut di jalan lurus dan melayan setiap selekoh yang tersedia.

Selepas menikmati makan tengah hari di Bukit Tinggi, perjalanan kemudian diteruskan pula ke pusat peranginan terkenal Genting Highlands. Sebagaimana yang anda tahu, laluan ke Genting Highland memang menarik, pada masa yang sama mencabar.

Memandangkan kami bergerak dalam kumpulan besar, kelajuan diminimumkan ke had lebih selamat. Malah, kami sentiasa diingatkan oleh marshal agar menunggang dengan berhati-hati sepanjang perjalanan.

Hari Sabtu melibatkan perjalanan lebih jauh iaitu dari Genting Highland menuju ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Di sana, kami berpeluang untuk menyaksikan sesi kelayakan untuk perlumbaan MotoGP pada keesokan harinya.

Sesi makan malam dimeriahkan dengan penampilan istimewa dua pelumba pasukan Honda Honda iaitu Marc Marquez dan Dani Pedrosa. Pelumba pasukan Idemitsu Honda Team Asia, Takaaki Nakagami dan Khairul Idham Pawi turut hadir memeriahkan suasana.

HAJ 2017 ditutup dengan acara konvoi ke SIC untuk menyaksikan perlumbaan MotoGP 2017. Sepanjang empat hari menunggang pelbagai jenis motosikal Honda, saya secara dasarnya boleh menyatakan bahawa jentera Honda mudah dikendalikan dan boleh memenuhi keperluan pelanggan yang memiliki bajet dan kecenderungan berbeza.

GALERI

Google ads
Back to top button