Motosikal

SATU UNIT KTM RC 8C 2024 TERSEDIA UNTUK PELANGGAN DI MALAYSIA

KTM Malaysia menerusi pengedar rasmi KTM Premium Kuala Lumpur telah menawarkan tempahan bagi satu unit KTM RC 8C 2024. 

Mesin khas untuk litar lumba itu hanya terhad kepada 100 unit sahaja bagi pasaran global dan hanya satu berjaya diperuntukkan untuk pasaran tempatan. 

KTM RC 8C 2024 itu merupakan generasi ketiga diperkenalkan dalam tempoh empat tahun ini dan kesemuanya disambar hanya beberapa minit selepas diperkenalkan. 

Ini kerana RC 8C merupakan satu-satunya model ‘sportbikes’ ditawarkan KTM meskipun hanya sebuah model ‘track-legal’ sahaja. 

Untuk rekod, KTM RC 8C terbaru ini dikuasakan enjin parallel-twin 889cc LC8c yang sama terdapat pada 890 Duke namun telah dipertingkat bagi menghasilkan 135hp pada 11,000rpm dan 98Nm pada 9,500rpm. 

Peningkatan kuasa itu dicapai dengan menaik taraf komponen enjin termasuk ‘valve’ titanium dan ‘connecting rod’ titanium. Turut menjadikan versi RC 8C ini unik adalah reka bentuk kotak udara dan ‘fuel pump’ yang dibangunkan khas.

Meskipun ada yang mungkin berasakan 135hp itu tidak tinggi buat sebuah jentera litar lumba namun dibantu dengan kerangka ringan (dibangunkan Krämer) serta panel badan karbon/kevlar, RC 8C hanya seberat 142kg. 

Tidak cukup dengan itu, RC 8C ini dilengkapi dengan komponen berspesifikasi tinggi termasuk brek Brembo Stylema, ‘radial master cylinder’ Brembo 19RCS Corsa Corta dan fork WP Apex Pro 7543 43mm  jenis ‘closed cartridge’ di bahagian depan serta monoshock WP Apex Pro 7746 di bahagian belakang (boleh laras). 

Antara pakej lain ditawarkan termasuk:

  • mod kuasa (power mode)
  • traction control
  • anti-wheelie
  • papan pemuka AiM MXS dengan ‘datalogger’ dan GPS
  • winglet dan ’swingarm scoop’ 
  • tayar Pirelli Diablo SBK

Sementara itu, pemilik bertuah akan turut dijemput menyertai majlis penyerahan khas di Litar Antarabangsa Algarve di Portimao, Portugal yang akan turut dimeriahkan dengan kemunculan royalti KTM. Juga disertakan majlis makan malam, serta peluang memandu kereta lumba KTM X-Bow di litar. 

Sebelum ini, KTM berjaya jual kesemua 200 unit KTM RC 8C dalam tempoh dua minit 38 saat sahaja. 

GALERI: KTM RC 8C 2024

Google ads
Back to top button