
SCHUMACHER & JENTERA B194 BENETTON KANTOI MENIPU?
Pada tahun 1994, perubahan peraturan perlumbaan F1 menyaksikan FIA cuba mengembalikan keadilan dalam jentera F1 yang bertanding. Teknologi yang membantu pelumba untuk memandu laju tanpa mengambil kira kemahiran memandu telah diharam terus daripada digunakan
Teknologi seperti Kawalan Cengkaman, Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik, brek anti terkunci ABS dan sistem suspensi aktif telah diharamkan pada tahun 1994 dalam usaha mengembalikan kemahiran pelumba dan mengurangkan kelajuan jentera pada tahap yang lebih selamat
Semua teknologi ini menyebabkan jentera F1 menjadi terlalu stabil, terlalu mudah untuk dipandu menjadikan pelumba hanya perlu menekan pedal minyak sahaja untuk berlumba. Pada masa yang sama semua teknologi ini amat mahal dan sukar untuk ditala dengan sempurna
Tahun 1994 juga menyaksikan Ayrton Senna berhijrah daripada pasukan McLaren-Honda ke pasukan William Renault selepas McLaren gagal mendapatkan enjin Renault yang lebih berkuasa dan Honda pula menarik diri dari arena F1 akibat kegawatan ekonomi Jepun
Pada masa yang sama, dunia juga menyaksikan kebangkitan Michael Schumacher bersama-sama pasukan Benetton biarpun jentera B194 merupakan jentera dengan pengendalian dan kuasa yang paling teruk yang pernah menjuarai perlumbaan F1 dalam sejarah
Tuduhan penipuan terhadap jentera B194 yang dipandu oleh Schumacher ini sebenarnya bermula pada GP Brazil 1994 diikuti dengan GP Pacific yang menyaksikan Senna gagal menghabiskan perlumbaan selepas jenteranya dirempuh oleh Mika Hakkinen.
Senna tidak kembali ke paddock, sebaliknya berdiri di tepi litar dan mendengar bunyi luar biasa seakan-akan bunyi enjin yang mengalami kegagalan pada jentera Benetton. Berdasarkan pada bunyi yang didengari ini dan pengetahuan teknikal yang dimiliki oleh Senna, tuduhan B194 menipu dalam perlumbaan adalah berasas.
Bunyi yang didengari oleh Senna ialah bunyi seakan misfire, sewaktu enjin mengalami proses melambatkan pemasaan enjin untuk mengurangkan kuasa enjin dan kelajuan atau bunyi misfire disebabkan palam pencucuh tidak diaktifkan bagi tujuan yang sama
Dalam panduan teknikal yang dikeluarkan oleh FIA pada tahun 1994, FIA dengan jelas melarang penggunaan sistem kawalan cengkaman elektronik beserta semua komponen yang terlibat seperti sensor kelajuan tayar depan, sensor kelajuan tayar belakang, dan juga sensor gearbox perisian komputer untuk mengawal semua parameter
Namun menurut William Toet iaitu jurutera aerodinamik bagi pasukan Benetton pada tahun 1994, jurutera F1 sentiasa mencari jalan bagi terus menggunakan sistem kawalan kestabilan elektronik. Antara cara yang dilakukan oleh Benetton termasuklah:
1. Peraturan asas FIA membenarkan sistem Traction Control digunakan HANYA pada gear pertama sahaja, bagi melindungi enjin iaitu komponen paling mahal dalam jentera F1 daripada rosak
2. Apa yang jurutera Benetton buat ialah “bend the rule” dimana mereka cuba menggunakan Traction Control pada gear kedua. Gear 2 adalah gear yang kerap digunakan sewaktu memasuki selekoh hairpin
3. Mereka mendapati tekanan udara adalah berbeza sewaktu angin meluru masuk ke dalam airbox pada halaju tinggi dan halaju rendah. Jadi jurutera Benetton memasang sensor tekanan udara bagi menggantikan speed sensor pada roda
4. Sensor tekanan udara ini akan diguna sebagai input asas, memberikan kuasa maksimum enjin sewaktu laju dan menghadkan kuasa enjin apabila ia mengesan jentera F1 sedang perlahan melalui selekoh tajam . Proses menghadkan kuasa ini adalah melalui proses retard timing, mematikan terus palam pencucuh atau menghadkan aliran bahan api ke silinder
Proses ini akan merubah kuasa enjin dan pada masa yang sama menyebabkan enjin berbunyi pelik sedikit seperti yang didengari oleh Ayrton Senna pada GP Pacific 1994. Namun jentera B194 juga dituduh menggunakan sistem Launch Control
Pada bulan Julai 1994, FIA menemui perisian Launch Control System yang tersembunyi di dalam ECU dan Black Box daripada jentera B194. Lebih memeranjatkan FIA ialah, Launch Control tadi tidak kelihatan pada paparan menu dan tersembunyi daripada pemandu
Sistem Launch Control ini disembunyikan dan boleh diaktifkan daripada komputer riba dan Benetton menyatakan sistem Launch Control hanya digunakan pada hari Jumaat ketika sesi ujian bebas dan akan dipadamkan sewaktu perlumbaan.
FIA pula gagal menemui sebarang bukti yang sistem ini digunakan sewaktu perlumbaan, malah kewujudan perisian Launch Control adalah tidak salah disebabkan peraturan FIA sendiri. Dalam kenyataan balas, Benetton menyatakan yang memadam semua perisian Launch Control akan menyebabkan masalah bug pada perisian