
SÉBASTIEN OGIER JUARA WRC VODAFONE RALLY DE PORTUGAL
Kali ini Brader Karrager masih bagi bersemangat nak berkongsi berita tentang rali. Kejuaraan Rali Dunia (WRC) Vodafone Rally De Portugal yang telah pun berlangsung pada hujung minggu yang lalu berjaya dimenangi oleh Sebastian Ogier, dari pasukan M-Sport World Rally Team.
Ogier yang kini memandu jentera Ford Focus WRC ternyata masih unggul sekalipun bertukar jentera daripada Volkswagen Polo R WRC yang juga merupakan jentera juara bertahan selama empat tahun berturut-turut yang turut dipandu oleh pemandu berasal Perancis ini. Inilah hikmahnya orang kata buat Ford yang berpeluang untuk lebih menonjol dalam WRC setelah penarikan diri pasukan Volkswagen Motorsport, selaku juara bertahan.
BACA : KERETA ELEKTRIK NISSAN LEAF AT-EV SERTAI RALI MONGOL 2017
BACA : SIAPAKAH HERO RALI JEPUN? MITSUBISHI LANCER EVO ATAU SUBARU IMPREZA?
Tempat kedua pula milik pelumba berasal dari Belgium Thierry Neuville yang memandu jentera Hyundai i20 Coupe WRC. Beliau ketinggalan sekitar 15.6 saat manakala tempat ketiga pula milik seorang lagi pemandu yang memandu jentera buatan Korea Selatan, Dani Sordo yang kelihatan agak berhempas pulas berlumba dalam kondisi yang sangat berdebu. Ketinggalan sekitar 15 saat bolehlah dikatakan bukan ayam sangat si Neuville ni. Handal juga beliau sebenarnya. Beliau yang mula menyertai pasukan Hyundai pada 2014 setelah disunting daripada pasukan Qatar World Rally Team sebelumnya berjaya membuktikan bahawa beliau juga berpeluang untuk menjadi pencabar juara dunia.
Ternyata kemenangan Ogier ini berjaya menyekat Neuville dari terus mendominasi dua pusingan sebelumnya yang berlangsung di Perancis dan Argentina. Apa yang menariknya, Ogier berjaya memperolehi kereta baharu pada rali di Portugal kali ini dan berjaya memenanginya, sama seperti pada pusingan yang pertama, menggunakan kereta yang baharu dan sekaligus berada di puncak podium kemenangan. Sempat juga beliau berseloroh dalam bahasa France, “Entahkan pasukan saya mampu atau tidak untuk menyediakan kereta baharu setiap kali perlumbaan agar boleh menang lagi pada setiap pusingan“.
Dengan pusingan berikutnya pada Jun nanti dan bakal berlangsung di Itali, saingan pasti sengit di antara Ogier dan juga Neuville. Namun cabaran Latvala yang memandu jentera Toyota Yaris WRC buat pertama kali untuk musim 2017 ini juga pasti tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Bekas pasukan Volkswagen Motorsport init tidak perlu lagi dipertikaikan keupayaan beliau. Pernah memenangi 17 kali pusingan rali, sudah cukup membuktikan sebagai pelumba yang cukup berjaya namun tidak pernah memenangi kejuaraan dunia. Malah beliau juga berjaya memenangi pusingan kedua yang berlangsung di Sweden.
Sumber : WRC