Buletin

PENANTIAN BERAKHIR – GEELY AUTOMOBILE KINI RAKAN STRATEGIK PROTON, LOTUS DIJUAL SEPENUHNYA.

Segalanya sudah terjawab, Proton hari ini telah mengumumkan rakan baru mereka hasil dari perbincangan terpenting mereka sejak memulakan operasi pada 1985. Geely Automobile menerusi syarikat induknya Zhejiang Geely Holding Group kini sah menjadi rakan kongsi strategik Proton yang baru.

Dalam satu sidang media bertempat di Pullman Putrajaya sebentar tadi, Datuk Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II mengumumkan Proton Holdings Berhad akan menjalinkan kerjasama dengan Zhejiang Geely Holding Group bagi memantapkan operasi perniagaan Proton.

Perjanjian ini bakal menyaksikan Geely memiliki saham Proton sebanyak 49.9 peratus sementara Proton masih memegang saham majoriti sebanyak 50.1 peratus.

Perjanjian ini akan membolehkan PROTON mendapat akses kepada pelbagai platform serta enjin dibawah Geely Holding, di samping menembusi pasaran sedia ada pembuat kenderaan China tersebut, termasuklah pasaran kereta-pemanduan kanan di Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar berkata, jenama PROTON akan kekal dan bakal mengalami pertumbuhan ketara dengan kehadiran rakan strategik baharu ini.

“Sememangnya hasrat kami adalah untuk menghidupkan semula jenama PROTON di mata dunia. Ia merupakan kereta nasional yang pertama dan mempunyai sejarah selama 30 tahun. Perjanjian ini akan menjadi pemangkin yang menjulang semula satu jenama yang dapat dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia,” kata Syed Faisal.

LOTUS DIJUAL SEPENUHNYA

PROTON juga akan menjual keseluruhan pegangan ekuitinya dalam syarikat pembuat kereta dari Britain, Lotus, kepada Geely Holding, sekaligus menamatkan penglibatannya dalam segmen sports car.

Geely Holding, pemilik Volvo Car Corporation dan The London Taxi Company, adalah antara pengeluar utama kenderaan penumpang China. Syarikat tersebut mempunyai operasi di seluruh dunia merangkumi 16 kilang pembuatan, tujuh studio rekabentuk serta lima pusat penyelidikan & pembangunan (R&D). Usahasama dengan PROTON akan membolehkan Geely bertapak di pasaran ASEAN dan meningkatkan penglibatannya dalam industri pembuatan serta R&D serantau.

Kedua-dua pihak bakal menandatangani Perjanjian Muktamad dalam bulan Julai 2017.

Proton bergelut dengan prestasi yang tidak menentu sejak 10 tahun yang lalu. Kehilangan monopoli pasaran domestik yang besar memaksa syarikat ini mencari rakan strategik asing. Ia adalah sebahagian daripada syarat pinjaman mudah RM 1.5 billion yang diluluskan tahun lalu.

BACA: RANJAU PROTON, SEMALAM, HARI INI DAN ESOK…

 

Google ads
Back to top button