Artikel Pilihan

SEKOLAH MEMANDU DI FINLAND, MUNGKIN ANTARA PALING SUSAH DI DUNIA

Ada 3 juara dunia Formula 1 berasal daripada Finland dan mereka meraih 4 kali juara dunia dengan hanya 3 pemandu sahaja iaitu Keke Rosberg, Mika Hakkinen, dan juga Kimi Raikonen. Nico Rosberg anak kepada Keke Rosberg memilih menukar kerakyatan kepada Jerman sebelum menyertai F1, kalau tidak Finland melahirkan 4 juara F1

Bukan sahaja cemerlang dalam F1, 7 daripada 14 juara dunia World Rally Championship dimenangi oleh pemandu yang berasal daripada Finland. Tapi Finland merupakan salah satu negara yang berada di lingkungan kutub utara yang menyebabkan mereka terdedah kepada 4 musim dalam setahun

Dengan cuaca bersalji, memandu di sebelah malam yang gelap dalam ribut salji dan terdedah kepada rusa liar sebesar anak gajah, anda perlukan kemahiran memandu yang sangat luar biasa untuk terus hidup di Finland. Namun salah satu faktor yang menyebabkan pemandu Finland cemerlang ialah mereka perlu lulus ujian memandu yang sangat sukar

Untuk belajar memandu, pelajar boleh memilih untuk menghadiri kelas memandu yang disediakan oleh pihak kerajaan ataupun yang disediakan oleh pihak swasta. Kelas memandu ini mengambil masa selama 18 jam yang akan mendedahkan pelajar kepada pelbagai topik berkenaan keselamatan jalan raya yang merangkumi 19 modul pembelajaran

Modul ini termasuklah menilai risiko, teori memandu dan undang-undang jalanraya. Setelah lulus ujian bertulis, pelajar akan didedahkan pula pada ujian memandu selama 37 jam sebelum mendapat permit belajar memandu secara praktikal. Ujian berkomputer ini memerlukan pelajar telah mencapai umur sekurang-kurangnya 17 tahun 11 bulan.

Permit ini membenarkan pemandu untuk belajar memandu secara praktikal termasuklah memandu di kawasan tertutup dan juga memandu di jalan raya awam bersama-sama dengan jurulatih pemanduan. Setelah mencukupi jumlah jam latihan, barulah ujian di jalan raya dilakukan selama 30 minit bersama-sama seorang penilai.

Jika lulus ujian jalan raya, pelajar akan mendapat lesen sementara juga disebut “interim license”. Bagi mendapatkan lesen penuh, lebih banyak latihan perlu dijalankan oleh pelajar dalam masa 2 tahun yang merangkumi latihan pemanduan lanjutan.

Ini termasuklah latihan memandu dengan kereta berkuasa tinggi, teknik mengawal kereta dan membrek, teknik mengawal kereta di permukaan jalan licin dan berais, skil pemanduan rali asas, belajar menggunakan racing lines di atas permukaan ais, teknik drift dengan tayar pacuan belakang atau AWD, Scandinavian Flick Turn, memandu waktu malam dan pelbagai teknik bagi mengekalkan kawalan kereta di atas permukaan licin.

Selepas semua teknik pemanduan ini dikuasai oleh pelajar dan melepasi lagi beberapa ujian praktikal, barulah pelajar akan menerima lesen penuh bagi melayakkan mereka memandu di negara Finland. Latihan yang amat intensif ini sebenarnya membuahkan hasil apabila Finland menduduki tempat ke 12 di dunia dalam carta keselamatan jalan raya.

Daripada 100,000 penduduk, hanya 4 orang sahaja yang mati akibat kemalangan jalan raya. Perlu diingatkan bahawa jalan raya Finland bukan sahaja berais mengikut musim, tapi banyak juga menggunakan jalan kampung yang kecil, gelap pada waktu malam dan terdedah pada ribut salji.

Cuba bandingkan dengan latihan memandu di Malaysia, bila hujan ramai yang acah-acah jadi Ayrton Senna dengan berakhir kemalangan disebabkan aquaplaning. Sudah sampai waktu untuk kita memasukkan latihan praktikal aquaplaning sewaktu ujian memandu.

Google ads
"
"
Back to top button