
SELAMAT HARI JADI KE 50 VOLVO 240 – SEBAYA DENGAN VW GOLF RUPANYA
Selain dari VW Golf rupanya ada satu lagi model ikonik yang menyambut ulang tahun ke 50 tahun ini. Ia sebuah model istimewa yang membawa Volvo ke satu fasa baharu dan kita mengenalinya sebagai 240. Ia sebenarnya dari siri 200 dan mula diperkenalkan pada Ogos 1974. Volvo baru saja menyiapkan Volvo sempena ulang tahun model istimewa ini yang ke 50.

Model berkotak ini diasaskan dari model 140 yang mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 60an. Ia bukannya sebuah kereta yang menonjol tapi kelebihannya terletak pada zon remuk, tali pinggang keledar tiga titik dan pelbagai keselamatan lain yang kemudian menjadi ikutan kesemua pengeluar kenderaan.
Walaupun dikenali di seluruh dunia sebagai 240, nama tersebut hanya mula dikenali kemudiannya. Pada awalnya ia dikenali dengan nama 242, 244 dan 245 dengan rekaan badan dua, empat dan lima pintu. Bertuah siapa-siapa yang ada lagi model dua pintu tu. Ia diikuti model 262, 264 dan 265.

Volvo mahu menamatkan produksi siri 200 ini pada pertengahan tahun 80 an dan menggantikannya dengan siri 700. Masalahnya model 240 ini memang laku keras dan produksi hanya dihentikan pada tahun 1993. Fuh lama betul tempoh produksinya. Ia berjaya terjual pada jumlah 2.8 juta unit di seluruh dunia.
Volvo 240 berjaya mengumpulkan peminat tersendiri. Ia bukan kereta mewah seperti Mercedes-Benz tetapi tentu sekali lebih premium berbanding pilihan lain di pasaran. Ia masih dilihat masih bergerak di jalan raya walaupun jumlahnya semakin menurun. Mesti ada di kalangan ahli keluarga kita yang pernah atau pun masih menggunakan Volvo 240.
Kalau korang menggunakan Volvo moden dengan teknologi terkini, jangan lupa bahawa perjalanan Volvo dirintis oleh model batu bata ini. Kalau ada yang mewarisinya daripada orang tua sila jaga elok-elok sebab ini ialah khazanah dari Sweden yang jauh lebih tahan lama berbanding model-model baru sekarang.


