10 SEBAB KENAPA HONDA S2000 ADALAH ROADSTER TERHEBAT – TAK LALU MAKAN ABANG JAPAR BACA NI
Topik ni mungkin agak panas untuk peminat Miata macam Abang Japar tapi tak kiralah tu. Silap-silap merajuk orang tua tu. Jangan la kena potong gaji bulan ni. Benda betul kan? Semua orang suka dengan kereta sports kerana menawarkan keseronokkan pemanduan yang jauh berbeza dari kereta sedan dan MPV. Roadster pula menawarkan pengalaman yang sama tapi dengan ‘kuah’ ataupun tahap keseronokan yang lebih tinggi sebab boleh buka bumbung.
Ya mungkin ada yang kata Myvi saya pun seronok dipandu bang. Ye betul, tapi kalau boleh buka bumbung ni feel dia lain dik. Miata memang merupakan kereta sport dan roadster terlaris di dunia tapi adakah ia mempunyai kehebatan yang standing dengan S2000?
Untuk menghasilkan roadster yang hebat bukan senang tau kerana ia tidak mempunyai bumbung yang sekaligus menjejaskan keteguhan casis. Bila casis dah lemah semestinya kawalan kereta akan turut terjejas. Jadi sudah tentu casisnya perlu diperkuatkan dan ia bukannya kerja mudah. Sebab itu jugalah jentera perlumbaan biasanya mempunyai bumbung kecuali jentera F1 dan seumpamanya. Itu cerita lain.
Disinilah bermulanya kehebatan Honda S2000 yang dibina dengan formula yang tepat dari awal. Nak kata ia mempunyai enjin sehebat Lamborghini pun tak kena tapi ia mempunyai semua yang diperlukan oleh sebuah roadster. Ianya ringan, ringkas dan mempunyai enjin yang paling tepat. Mari kita tengok kenapa ia boleh menjadi roadster lejen.
S2000 Mempunyai Enjin Dengan Revolusi Tertinggi Sepanjang Zaman
Honda menhasilkan enjin terbaik di bumi dan ini adalah buktinya. Enjin untuk S2000 diberi kod F20 dan F22C. keduanya merupakan enjin VTEC NA dengan sesaran 2000 liter. Enjin ini mungkin kelihatan kurang bertenaga pada RPM rendah tapi sebaik melintasi batasan 5000 RPM ia mula memberikan kuasa yang menggila sehingga 9000 RPM. Ya, 9000 RPM tuan-tuan dengan kuasa tertinggi 240 hp dan dihantar sepenuhnya ke roda belakang.
S2000 Mempunyai Kotak Gear Manual Terbaik
Kereta sukan mesti la pakai kotak gear manual dan yang terbaik semestinya milik S2000. Tukaran mekanikal dirasakan cukup solid dan pendek. Gearnya masuk dengan cukup baik dan tepat sepanjang masa (semestinya di tangan pemandu yang cekap la). Ia kemudahan disudahkan dengan tombol gear logam berwarna aluminium yang sangat cantik.
S2000 Pernah Memberikan Nisbah Kuasa Per Liter Terbaik Dunia
Jangan terkejut sebab kereta sport kecil dari Jepun ini pernah memegang takhta kereta yang memberikan nisbah kuasa per liter terbaik di dunia. Semuanya jasa enjin F20/22C sebaris empat kalis gagal dengan nisbah mampatan 11.7:1 dan sistem VTEC. Rekod ini dipegang oleh Honda S2000 selama sepuluh tahun sebelum berjaya dipecahkan oleh Ferrari 458 Italia dengan enjin 4.5 liter V8. Ya mungkin mereka cuba membalas dendam sebab pernah ditewaskan oleh pencapaian Honda NSX generasi pertama.
S2000 Mempunyai Kabin Mesra Pemandu
Ini penting untuk sebuah kereta sport atau roadster. Semua peralatan atau suis mesti mudah dicapai oleh pemandu dan bukannya penumpang ataupun pasangan yang gatal tangan nak cuit sana sini. Bagi pemilik yang membeli kereta untuk bergerak dari titik A ke titik B mungkin tiada yang istimewa pada kabin S2000 ni tapi bila pemandu sebenar berada di tempat duduk pemandu perkara yang dapat dirasa selain posisi memandu yang selesa ialah ketinggian tombol gear yang sempurna dan takometer digital yang menyamai takometer superbike. Bukan hanya nampak macam superbike tapi ia juga boleh dipecut sesuka hati sama macam superbike. Jangan pecut tak tentu hala sampai langgar ayam itik orang kampung dah la.
S2000 Mempunyai Prestasi Lebih Baik Dari Pesaingnya
Miata memang sebuah kereta sport yang direka dengan bijaksana (harap dapat naik gaji). Namun bila S2000 muncul pada tahun 2000 ia menawarkan prestasi dan kuasa yang lebih baik. Ia juga menawarkan kawalan selekoh yang lebih baik hatta jika dibandingkan dengan Miata NB sekali pun (habis la kena potong balik gaji aku). Tidak keterlaluan jika dikatakan S2000 adalah setanding dengan BMW Z4 dan Porsche Boxster. Prestasi sama dengan Boxster tetapi dengan harga yang lebih rahmah.
S2000 Mempunyai Ramuan Kereta Sport Yang Sempurna
Enjin NA putaran tinggi jauh di hadapan, casis yang teguh dan kukuh, kotak gear manual yang sempurna, posisi memandu dan ciri ergonomik merupakan ramuan asas penghasilan S2000. Dan memang itu yang diperlukan oleh sebuah model sport. S2000 juga hampir mencapai agihan berat 50:50 di atas kertas dan di atas jalan ia mempunyai runut bunyi yang merdu mengingatkan anda yang enjinnya adalah satu karya seni daripada Honda. Jangan perasan abang-abang H jenis R jadian, pujian ini khas untuk S2000 sahaja. Jangan marah deh.
Rekaan S2000 Kekal Malar Hijau
Ya, satu perkara yang kami suka tentang Honda era 90 an dan awal 2000 ialah rekaannya yang sentiasa malar segar dan tidak ditelan zaman. Garisan badannya bersih dan tidak terbonjol di sana sini atas nama aerodinamik. Berbeza dengan rekaan generasi TikTok yang tuhan sahajalah tahu apa yang ada dalam fikiran pereka semasa membuat lakaran.
S2000 Masih Ada Ruang Untuk Modifikasi
Walaupun kelihatan sempurna dalam keadaan standard tapi jika kena caranya ia masih boleh diubahsuai supaya menjadi lebih ummphh. Malah sentiasa ada perkakasan aftermarket yang ditawarkan untuknya baik untuk kosmetik mahu pun peningkatan prestasi. Baru-baru ini pun ada yang membuat makeover S2000 dan dinamakan S2000R walau pun ia bukannya model rasmi daripada Honda. Terliur weh tengok.
Tiada Model Lain Seperti S2000 di Luar Sana
Dengan kata lain anda tidak boleh membeli kereta sport ataupun roadster seperti Honda S2000 hari ini. Mana nak dapat model dengan gear manual yang boleh diperah sehingga 9000 RPM. Terakhir kami dengar yang mampu melakukannya ialah Lexus LFA dengan enjin V10. Itu pun sepuluh tahun selepas S2000 dan harganya memang mengalahkan rumah banglo 5 bilik di Bachok (hentam sajalah). Honda mencapai kehebatan yang sama dengan model sport kecil mereka.
Harga S2000 Sentiasa Meningkat di Pasaran
Yaa tuan-tuan. Siapa yang ada S2000 memang dah macam menyimpan jongkong emas kerana harganya semakin meningkat. Yang kata baik beli itu baik beli ini tu dah tentu bukan kaki kereta. Jadi jangan peduli apa orang nak kata janji kita suka. Siapa-siapa ada S2000 tu meh call kami supaya boleh diabadikan dalam video Mekanika.
Kredit hotcars.com