
KENAPA ENJIN 2JZ TOYOTA NI HEBAT SANGAT? – NAMA PUN MACAM PENYANYI RAP
Rasanya semua kaki kereta kenal dengan enjin 2JZ ni kecuali kalau kau lahir masa 10 tahun lepas. Populariti enjin 2JZ ni memang sama naik dengan Toyota Supra MK4 yang bertanggungjawab menjadikan enjin ini popular seantero dunia.

Kisahnya Toyota telah mengeluarkan enjin baharu bagi menggantikan enjin siri-M pada tahun 1990. Ia merupakan enjin 2.5 liter, 24 injap DOHC sebaris enam dan dinamakan 1JZ. Setahun selepas itu Toyota menaiktaraf enjin 1JZ dan menghasilkan varian 3.0 liter yang kemudiannya dikenali dengan nama 2JZ.
Enjin 2JZ ini memang sangat ‘lancar’ dan tak bergegar macam enjin 3 selinder teknologi lama. Ia juga mempunyai potensi yang sangat besar untuk kaki modifikasi. Jadi kenapa ia menjadi sangat popular?

Ini antara faktor-faktornya:
- Tahan lasak
Ketahanan sesebuah enjin adalah sangat penting sebelum kuasa enjin dipertingkatkan. Tak ada guna enjin berkuasa tinggi tapi kereta asyik tersadai kat bengkel. Disinilah enjin 2JZ Toyota membuktikan kehebatannya. Ia tahan lama, lasak dan tidak memerlukan penyelenggaraan yang rumit.

Dalam bilik sembang Supra Forums, beberapa pemilik cukup bangga dengan perbatuan kereta mereka. Ada yang sudah mencecah perbatuan 500,000 kilometer tanpa sebarang masalah.
- Potensi naik taraf kuasa
Kuasa asal 320 hp enjin ini pun dah cukup tinggi tapi ia masih mempunyai potensi yang lebih. Ya, memang kebanyakan kereta moden boleh menjalani proses mapping untuk meningkatkan lebih banyak kuasa tapi bagi enjin 2JZ, potensinya memang setinggi gunung Fuji.

Ada yang menukar pengecas turbo, ada yang menaik taraf sistem penyejukan dan sistem suntikan bahan api untuk membebaskan beberapa ratus lagi kuasa kuda. Itu belum termasuk modifikasi ekstrim seperti yang dilakukan oleh tuner-tuner terkenal. Bahkan ada yang berjaya diubahsuai sehingga mencecah 3,000 hp kuasa! Itu dah hampir sepuluh kali ganda kuasa asal bai.
- Status ikonik
2JZ dipasang pada model-model ikonik Toyota keluaran tahun 90 an sekali gus menjadikannya cukup popular. Selain Supra MK4, enjin ini juga turut digunakan oleh Toyota Soarer dan beberapa model lain keluaran Lexus. Abang Japar pun ada Tiara 2JZ sulu tau.

- Sokongan aftermarket
Selepas kehebatan enjin ini dikenali ramai, syarikat-syarikat tuning dan pengeluar alat ganti sedar akan pasaran yang besar menanti mereka untuk peminat 2JZ. Model-model Toyota dengan enjin 2JZ juga turut laris di pasaran hingga menyebabkan pasaran alat-alat gantinya meledak.
- Bunyi yang lunak
Enjin 2JZ menghasilkan bunyi yang sangat lunak dengan sistem ekzos free-flow. Tak kiralah versi NA ataupun turbo. Jangan cerita pasal ekonomi bahan api kat sini. Nak jimat baik beli Axia tapi enjin ini memang mempunyai karektornya yang tersediri.