Artikel Pilihan

SELAMAT KE KALAU PANDU KERETA “0” BINTANG ASEAN NCAP DALAM KEMALANGAN?

Penulis ada terbaca satu komen berkenaan isu tular kereta elektrik jenama Neta yang mendapat 0 bintang dalam ujian kemalangan. Komen tersebut berbunyi “balik balik post gambar langgar dinding, kita beli kereta bukan untuk langgar dinding hari-hari”.

Kadangkala masalah utama kita ialah kita gagal memahami tahap keseriusan masalah membawa masuk dan memasarkan kereta yang tidak selamat bagi pasaran dalam negara. Bagi penulis, adalah satu risiko yang besar anda membawa keluarga anda menaiki kenderaan yang tidak selamat.

Berbalik pada jenama Neta, jenama ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga dengan pelbagai masalah yang telah melanda jenama kereta elektrik dari China ini. Bermula dengan rekaan yang hambar seperti nasi goreng tawar dan diikuti dengan isu kes bateri terbakar yang tular baru-baru ini

Di China sendiri, jenama ini seperti gagal mengimbangkan aliran tunai yang masuk dengan masalah kewangan yang serius sehingga memaksa mereka meminta bantuan kerajaan serta menghentikan pengeluaran kenderaan di 2 kilang mereka

Terbaru pula, Neta menerima kecaman hebat apabila laporan ujian keselamatan ASEAN NCAP menunjukkan prestasi “survival” pemandu dan penumpang sangat buruk jika berada dalam Neta V sedangkan ujian kemalangan dibuat pada halaju 64km/jam sahaja

Jika dibandingkan dengan Euro NCAP atau ujian NHTSA (National Highway Traffic Safety Administration) yang lebih ketat, ujian ASEAN NCAPboleh dikatakan lebih senang untuk lulus berbanding dengan 2 ujian yang disebut di atas

Neta V yang dijual di sini hanya ditawarkan dengan 2 beg udara, brek ABS, EBD, brake assist, kawalan cengkaman dan ESC. Tiada ciri keselamatan aktif yang diberikan pada model ini seperti brek AEB. Malah laporan daripada ASEAN NCAP menunjukkan Neta V tidak dipasang dengan ciri pre-tensioner dan load limiter pada tali pinggang keselamatan

Apabila kemalangan berlaku katakanlah pada halaju 50km/jam dengan berat pemandu 100kg, badan pemandu akan dikenakan beban sehingga 24,580kg. Semua beban ini akan cuba ditahan oleh tali pinggang keselamatan bagi mengelakkan badan pemandu tercampak ke hadapan.

Jika ciri pre-tensioner dan load limiter digunakan, tali pinggang ini akan dilonggarkan sedikit sewaktu impak sebelum diketatkan kembali bagi mengurangkan kecederaan. Tanpa ciri ini, semua beban akan ditamggung oleh badan pemandu sepenuhnya

Jika anda meneliti gambarajah kemalangan, kawasan dada menunjukkan kecederaan yang serius pada bahagian depan dada, dengan kemungkinan mengalami tulang pada pada bahu (tulang selangka) dan juga tulang rusuk

Gambarajah juga menunjukkan kecederaan pada kepala, betis kanan dan juga kedua dua belah kaki biarpun dilindungi oleh beg udara. Berdasarkan laporan ASEAN NCAP, kerangka utama atau passenger safety cell telah runtuh dan gagal sama sekali

Bukti utama ialah berdasarkan video, tiang A pada Neta V telah ranap akibat rempuhan sedangkan dalam ujian ini Neta V hanya melanggar deformable aluminium barrier dan bukannya halangan yang lebih keras seperti yang digunakan oleh NHTSA

Ini juga kali pertama penulis melihat ASEAN NCAP meletakkan banyak komen berkenaan dengan hasil keputusan kemalangan. Antara perkara yang disebut ialah:

1. roda stering telah berganjak dan menghentam muka patung

2. Tiang A telah rosak

3. integriti kerangka keselamatan ruang penumpang terjejas

4. beban terlampau tinggi oleh tali pinggang keselamatan pada dada pemandu

5. pedal brek dan minyak terjungkit, pasti menyebabkan kaki pemandu patah

6. ruang melindungi kaki telah runtuh

7. pedal blocking – penulis kurang faham namun penulis andaikan yang kaki pemandu tersangkut dan menyukarkan kerja menyelamat mangsa kemalangan

Secara jujurnya, penulis berharap kereta ini ditarik balik dari pasaran atas faktor keselamatan

Google ads
Back to top button