
SELEPAS BELI KERETA DAN JENGKAUT SECARA TUNAI, PELOMBONG EMAS DI KUALA LIPIS DIARAH DAPATKAN LESEN
Sejak beberapa hari lalu, nama mukim Kechau yang terletak di Kuala Lipis menjadi perhatian warga internet. Sebabnya, tanah seluas 77,000 hektar itu didakwa memiliki sumber emas yang banyak.
Dari segi geografi, Mukim Kechau berada dalam jajaran Sutera Raub-Bentong. Lokasi itu sebenarnya terletak dalam Jajaran Emas negara yang merentasi beberapa buah negeri di Semenanjung bermula dari Thailand hingga ke Batang Melaka, Jasin.
Sudah tentu penemuan emas itu menjadi rezeki terpijak buat penduduk kampung. Malah, ada segelintir daripada mereka sudah membeli kenderaan baharu secara tunai. Tidak kurang juga yang membeli jengkaut bagi membuatkan urusan melombing emas di tanah sendiri lebih mudah.
Namun, bukan semuanya indah belaka. Penemuan emas menyebabkan ada adik-beradik bergaduh berebut tanah dan akhirnya tanah itu terpaksa dijual.
Terbaharu, kerajaan negeri Pahang mengarahkan sesiapa sahaja yang tidak mempunyai lesen untuk melombong emas perlu memberhentikan aktiviti berkenaan. Arahan itu turut melibatkan mereka yang melombong emas di tanah sendiri. Jika berdegil, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, semua kegiatan perlombongan perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
Bagi memastikan aktiviti perlombongan berjalan lancar dan mematuhi undang-undang, kerajaan negeri Pahang kini sedang mempertimbangkan cadangan melaksanakan Skim Pelombong Kecil (SPK). Ia khusus untuk aktiviti yang melibatkan kawasan seluas 4.05 hektar ke bawah.
SPK yang dijangka berkuatkuasa pada Jun akan diselaraskan oleh Pahang Mining Corporation Sdn Bhd (PMC). Ia bertujuan memudah cara dan membantu penduduk melakukan aktiviti perlombongan secara sah, selain memastikan tiada ketirisan hasil negeri akibat perlombongan haram.
“Antara tanggungjawab PMC ialah mengenal pasti tanah milik individu yang berpotensi di lombong atau pemilik tanah sendiri boleh membuat permohonan kepada mereka,” katanya.
Pelaksanaan skim itu membolehkan aktiviti perlombongan dilakukan secara berkelompok, dengan menggabungkan tanah-tanah milik bersebelahan sekali gus menjadikan kos pengendalian lebih rendah menerusi perkongsian antara pemilik.
“Operasi perlombongan juga akan menjadi lebih teratur menerusi SPK. Bagaimanapun, mereka yang diberi kelulusan perlu terus mematuhi peraturan kerana pemantauan tetap dilaksanakan, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti pencemaran yang akan menyusahkan lebih ramai orang,” katanya lagi.
Wan Rosdy juga memberi tahu bahawa sebanyak 16 serbuan dan sitaan telah dijalankan dalam tempoh kurang sebulan, iaitu bermula 3 Feb hingga 24 Feb 2021.
14 kes melibatkan daerah Lipis dan bakinya di Raub yang menyaksikan 15 jentera, 16 pam air, di samping sebuah enjin air dan generator dirampas.
Ini melibatkan kesalahan di bawah Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001. Majoriti kesalahan ialah melombong emas tanpa kelulusan pihak berkuasa negeri, selain didakwa menyebabkan pencemaran air. – BERNAMA, The Vocket