Buletin

SELUDUP 5,100KG MINYAK MASAK GUNA KENDERAAN SYARIKAT KURIER

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran menggunakan kenderaan syarikat kurier menerusi Ops Tiris di sempadan negara.

Dalam serbuan itu, sebanyak 5,100 kilogram (kg) minyak masak berjaya dirampas bersama sebuah lori dan kereta jenis wira aeroback.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, hasil maklumat awam, pihaknya telah mengesan sebuah lori dipercayai membawa barang kurier di sebuah taman perumahan.

“Kami mendapati terdapat beberapa suspek mencurigakan sedang membuat pemunggahan kotak-kotak disyaki berisi minyak masak bersubsidi dari muatan lori kepada kereta.

“Kita tidak menolak kemungkinan barangan tersebut akan dibawa ke pangkalan haram untuk diseludup ke negara jiran,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurut beliau, semasa serbuan dilakukan suspek telah melarikan diri ke dalam semak berhampiran tanpa dikesan.

Ujarnya, nilai rampasan minyak masak bersubsidi dianggarkan berjumlah RM12,750.

Azman memberitahu, kes tersebut akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button