
SEMUA PUSAT 3S, SERVIS DAN B&P PERODUA SUDAH BEROPERASI
Perodua mengumumkan bahawa semua 182 pusat jualan, 202 pusat servis dan 68 pusat Badan & Cat (B&P) di seluruh negara telah kembali beroperasi sepenuhnya, selepas ditutup selama dua bulan sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
“Hari ini, kami telah selesai melaksanakan langkah-langkah penjagaan yang diperlukan di semua pusat jualan, servis dan B&P di seluruh negara.
“Ini bagi memastikan para pelanggan yang dihargai serta pekerja dilindungi secukupnya di dalam situasi COVID-19,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Pengeluaran di Sungai Choh telah bermula sebahagiannya dari 11 Mei dan kini berjalan sepenuhnya. Selain itu, cawangan-cawangan Perodua memulakan operasi secara berperingkat-peringkat sejak 12 Mei lalu.

Perodua bekerja keras untuk memastikan semua langkah keselamatan dan kesihatan dilaksanakan dengan betul dan menyeluruh.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan atas kesabaran dan kesetiaan mereka. Kami akan memastikan semua keperluan anda dapat dipenuhi dengan selamat dan segera,” katanya.
Pelanggan yang ingin menyelenggara kenderaan diminta untuk mendapatkan slot janji temu terlebih dahulu dengan pusat servis pilihan mereka. Walk-in tidak akan diterima buat masa ini untuk mengelakkan kesesakan.
Semua pelawat mestilah menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis, mendaftarkan maklumat diri dan mematuhi penanda jarak sosial di dalam premis sepanjang masa. Pembersih tangan telah ditempatkan di lokasi-lokasi penting, manakala pembersihan secara berkala turut dibuat di premis.