TIDAK PAKAI TOPENG MUKA DI QATAR. BOLEH DIPENJARA 3 TAHUN, DENDA RM240,000
Qatar semalam mengumumkan hukuman lebih tegas ke atas kesalahan tidak memakai topeng muka di khalayak umum, dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di negara itu.
Mereka yang melanggar peraturan itu di tempat awam boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun serta denda sebanyak AS$55,000 (RM240,000).
Qatar mencatat kes positf COVID-19 lebih 1.2 peratus atau 32,000 daripada 2.75 juta penduduknya. Ini sekali gus menjadikannya antara negara yang paling teruk terjejas, walaupun hanya mencatatkan 15 kematian setakat ini.
Berdasarkan statistik Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah, hanya negara kecil seperti San Marino dan Vatican melaporkan kadar jangkitan berbanding nisbah penduduk yang lebih tinggi.
Pemandu yang berseorangan dalam kenderaan dikecualikan daripada peraturan memakai topeng muka. Pihak polis sudah memulakan pemeriksaan di sekitar Doha sejak semalam.
Pemakaian topeng muka kini diwajibkan di sekitar 50 negara walaupun pakar sains tidak begitu yakin mengenai keberkesanannya.
Pihak berkuasa Chad mengenakan hukuman penjara 15 hari jika gagal memakai topeng muka ketika berada di tempat awam. Sementara di Maghribi, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan didenda 1,300 dirham (RM567).
Pengerusi bersama Jawatankuasa Siapsiaga Pandemik Kebangsaan Qatar, Abdullatif al-Khal mengakui pihaknya bimbang perhimpunan ketika berbuka puasa di bulan Ramadan mungkin meningkatkan penularan jangkitan COVID-19.
Minggu lalu, Arab Saudi mengumumkan perintah berkurung 24 jam sepanjang cuti lima hari sempena sambutan Aidilfitri hujung minggu ini.
Masjid, sekolah, pusat beli-belah dan restoran masih ditutup di Qatar. Namun sektor pembinaan yang membabitkan persediaan negara itu menganjurkan Piala Dunia 2022 dibenarkan beroperasi dengan pematuhan penjarakan sosial yang ketat. – AFP. kredit foto: iloveqatar.net
- BACA: QATAR AIRWAYS BERI 100,000 TIKET PERCUMA KEPADA BARISAN HADAPAN PERUBATAN
- BACA: BINTANG BAYERN MUNICH DIDENDA RM273,000 KERANA PANDU MCLAREN KE SESI LATIHAN
- BACA: MERAJUK DENGAN ISTERI, LELAKI DIDENDA RM1,000 KERANA INGKAR PKP
- BACA: RAKAM FOTO DI ATAS LEBUH RAYA, PEMILIK MAZDA2 BERDEPAN DENDA RM7,850 ATAU PENJARA 2 TAHUN