Artikel PilihanBuletin

SENARAI KESALAHAN YANG BIASA DILAKUKAN PEMANDU MALAYSIA – BACA PUN MESTI SAKIT HATI

Kita manusia memang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan tapi sebab itu jugalah kita dikurniakan otak agar dapat berfikir baik dan buruk sesuatu perkara. Memandu kereta ataupun menunggang motosikal memang menyebabkan ramai orang teruja sejak dari zaman kanak-kanak dan belum ada lesen lagi. Lain la kalau kena bawak van jenazah, itu dah lain cerita. Tapi memandu juga boleh menyebabkan tekanan darah kita naik dan jiwa menjadi kacau. Kenapa? Kerana ada segelintir yang tidak bertanggungjawab dan memandu seolah-olah dengan meninggalkan otak dalam peti sejuk di rumah.

Di sini kami senaraikan kesalahan yang biasa dilakukan pemandu dan penunggang di Malaysia selepas perbincangan serius dengan pakar-pakar bebas di warung kopi bawah pokok ceri belakang Jabatan X (terpaksa dirahsiakan atas permintaan pihak terlibat). Senarai ini tidak mengikut turutan tertentu okey.

1. Tidak Menggunakan Signal (isyarat membelok)

Ia bagaikan sudah menjadi budaya baharu di Malaysia. Mungkin juga mereka yang melakukannya ingat pemandu lain mempunyai keupayaan untuk membaca gerak hati mereka menggunakan makrifat ataupun ilmu ghaib. Tapi percayalah, setakat ini tak ada lagi pemandu sehebat itu dan konsep bahasa badan memang tidak terpakai untuk kenderaan, setakat ini ia terhad untuk manusia dan binatang.

2. Menggunakan Signal Sesuka Hati

Okey yang ni agak kelakar tapi kalau kena memang sakit hati. Ini jenis pemandu yang tidak tetap pendirian. Sekejap bagi signal kanan, sekejap bagi kiri lepas tu kanan balik, kiri balik sampai 3, 4 kali. Rekod kami pernah jumpa setakat ini ialah enam kali. Kalau Bruce Lee hidup lagi nescaya beliau akan ‘mengkarate’ pemandu ini kalau terjumpa di mana-mana.

3. Berhenti Tanpa Memberikan Sebarang Signal

Yang ni pun boleh tahan best. Bila rasa nak berhenti dibantainya berhenti terus. Lagi best kalau lepas tu dia jalan balik macam tak ada apa-apa je. Nampak orang jual durian dia berhenti, nampak orang jual teh ‘Boba’ dia berhenti, nak terkentut pun mahu dia berhenti. Macam la kereta dia sorang je ada brek.

4. Tidak Menyalakan Lampu Ketika Perlu

Mazda CX30

Ada yang lupa menyalakan lampu di waktu malam dan ada juga yang memang sengaja tidak mahu menyalakan lampu di waktu pagi. Sekarang ni waktu Subuh agak lewat dan matahari memang lambat memancarkan cahayanya. Pukul 7 lebih keadaan memang masih lagi agak gelap tapi ramai dah tak nak nyalakan lampu seolah-oleh bil elektrik mereka akan meningkat dengan menyalakan lampu kereta.

Yang lupa nyalakan lampu jangan ceritalah. Tapi mungkin juga mereka mempunyai mata yang sangat tajam hingga tidak memerlukan penggunaan lampu? Siapa tahu kan?

5. Menggunakan Lampu Tinggi Tidak Mengira Masa

Rasanya ini memang kesalahan tidak sengaja tapi ada juga yang memang mementingkan diri sendiri. Jangan la buat macam ni, bahaya tahu bila pemandu dari depan silau akibat suluhan lampu tinggi anda. Penunggang motosikal pun tidak terkecuali, walaupun lampu motosikal tidak sebesar lampu kereta tapi ia masih menyilaukan pemandu lain jika anda sentiasa menggunakan lampu tinggi.

6. Menyalakan Foglight Belakang Sepanjang Masa

Rasanya anda semua mesti dah boleh agak kan kereta apa. Bukan kereta itu sahaja tetapi kadang-kadang kami juga ada terjumpa dengan Cherry Eastar dan Proton Persona yang menyalakan foglight belakang. Tak semua tapi ada.

7. Membaca Dan Menghantar Mesej Media Sosial Semasa Memandu

Kalau nampak ada kereta yang dipandu terkemut-kemut, sekejap brek sekejap lepas jangan pulak anda terbayang benda pelik-pelik. Itu memang sohih tengah baca mesej dari grup WhatssApp sekolah rendah dulu. Tengah plan nak buat reunion la tu. Tak menyempat nak baca mesej. Macam la tengah tunggu deal RM15 juta rupiah.

8. Tidak Masuk Ke Petak Pakir Walaupun Ada Kekosongan

Ini satu lagi jenis pentingkan diri sendiri. Alasan sebab berhenti sekejap sahaja malas nak masuk pakir. Lagi seronok bila yang turun buat urursan tu pemandu sendiri lepas tu bila orang hon dia buat selamba je jalan macam tak ada apa-apa.

9. Memandu Macam Nak Cari Rumah Sewa

Biasa jumpa kan? Dibantainya bawa sehabis perlahan, kejap-kejap tekan brek lepas tu toleh kiri toleh kanan. Kalau kita tekan hon pun biasanya dia buat selamba tapir je. Haih, sabar je la.

10. Menekan Minyak Bila Ada Kereta Lain Ingin Memotong

Yang ni sama macam nombor sembilan tapi lebih agresif. Mula-mula dia bawak macam tapi kenyang tapi bila kita nak memotong ataupun sedang memotong ditekannya minyak macam nak menghalang kita memotong.

11. Memandu Sambil Meriba Anak

Ini pernah dilabelkan sebagai masalah yang menimpa dunia ketiga. Entah apa yang ada di kepala setengah pemandu, boleh pula dibantainya memandu sambil meriba anak padahal si bini ataupun si laki ada elok je kat sebelah. Macam mana kalau tangan anak berada di dalam roda stereng sewaktu nak membelok? Lagi best kami pernah nampak anak atas riba pemandu dan sebelah si abah pula tengah pegang rokok. Kombinasi maut namanya.

12. Bawa Sampah Atas Bumbung Kenderaan

Masa kami kecil dulu tak pernah nampak situasi macam ni. Sekarang ni dunia makin model tapi mentaliti sesetengah manusia nampak macam makin merosot. Beli Vios baru letak plastik sampah atas bonet, beli Honda Jazz gantung plastik sampah kat wiper belakang dan ada jugak yang bawa Axia tapi letak plastik sampah depan cermin siap kepit pula dengan wiper depan. Paling hebat yang kat atas bumbung sebab kebarangkalian lupa memang sangat tinggi. Tunggu masa sajalah nak jatuh bersepah atas jalan raya.

Kredit Harian Metro

13. Terlebih Romantik Atas Jalan Raya

Ini lebih kurang juga dengan nombor sembilan cuma situasinya sedikit berbeza. Pemandu in biasanya tak laju tetapi masa memandu tu kalau kita perhatikan, asal bercakap dengan awek kat sebelah mesti dia nak menoleh ke muka awek. Peraturan memandu yang paling penting ialah fokus, mata mesti tengok depan bukannya setiap minit tengok muka sambil tersengih-sengih macam bapak kerang. Bab sebelah tangan pegang stereng sebelah pegang tangan awek tu malas nak ulas, nanti kata kami jeles pulak.

14. Tidak Mematuhi Lampu Isyarat

Masalah ni boleh dikatakan agak kronik terutama di kalangan penunggang motosikal. Tapi pemandu kereta pun dah makin ramai buat perangai macam ni. Cuma dulu mereka main langgar lampu merah, kini lampu hijau pun boleh dia buat tak tahu. Kenapa? Biasalah, belek skrin telefon ataupun tertidur tapi majoriti memang guna telefon.

15. Membuang Sampah Keluar Kenderaan

Ini memang perangai manusia tiada tamadun. Makan rambutan campak kulit keluar, makan mata kucing pun campak kulit keluar. Puntung rokok, lampin pakai buang, tisu, plastik pembungkus dan lain-lain memang dah biasa kita tengok. Konon tak nak kereta kotor tapi perangai memang macam dah tak ada agama. Ingat sedikit wei, kebersihan sebahagian daripada iman.

16. Tidak Memberi Laluan Kepada Kenderaan Kecemasan

Masalah biasa dihadapi oleh pemandu ambulan dan bomba ialah kegagalan pengguna jalan raya lain memberi laluan secepat mungkin walaupun siren dan lampu amaran sudah dinyalakan. Lagi best ada yang semakin memecut bila nampak ambulan datang dari belakang. Ada juga yang suka mengekor rapat ambulan atau jentera bomba. Lagi menarik bila ada bijak pandai yang mempunyai fahaman pemandu ambulan pun kena patuh undang-undang, mana memandu sesuka hati dan langgar lampu merah.

Bagi kami yang tak berapa mahir undang-undang ni, masalah ini sebenarnya berpunca dari sikap. Kenapa zaman mak ayah kita dulu, semua pemandu akan memberikan laluan dari jarak hampir satu kilometer bila nampak ambulan atau bomba menghampiri? Masa tu tiada siapa pun bangkitkan isu pemandu ambulan tak patuh undang-undang. Kenapa? Sebab masa tu pengguna jalan raya turut menghormati urusan kecemasan dan akan segera memberikan laluan. Ia tidak, siap ambil gambar, viralkan kemudian kecam beramai-ramai. Percayalah urusan nak segera menghantar pesakit ke hospital ni jauh lebih penting dari memberi laluan kepada menteri nak pergi menghadiri jamuan teh O kurang manis di hotel 5 bintang kejora.

17. Memandu Waktu Malam Dengan Mentol Terbakar

Dari jauh ingatkan motosikal, dah dekat rupanya kereta mata satu. Nasib baik tak memotong tadi. Adoi, bukannya mahal sangat harga mentol kalau dibandingkan dengan harga kereta. Takkan la tak sedar lampu tak nyala kan? Ke mata dah rabun sebab kuat main games kat telefon?

18. Gagal Berhenti Di Lintasan Pejalan Kaki

Di luar negara, ini adalah kesalahan serius tapi kat Malaysia ni memang ramai yang tidak peduli. Sebab itulah kebanyakan sekolah terpaksa menyediakan warden trafik untuk membantu pelajar melintas jalan. Padahal kalau semua pemandu mengamalkan peraturan sebenar dan beri keutamaan kepada pejalan kaki di lintasan zebra, masalah ini mungkin tidak akan timbul.

19. Enggan Memakai Topi keledar/Tali keledar

Setengah tu topi keledar ada tapi letak dalam bakul, nampak polis baru nak sarung. Bimbang takut rambut rosak kot? Kalau eksiden bukan setakat rambut rosak, muka pun boleh rosak tahu. Tali keledar tu pulak bukannya alat hiasan okey, memang kena pakai masa memandu.

20. Membenarkan Anak Berdiri Melalui Sunroof

Ini tak tahulah nak kata jakun ke ataupun nak berlagak tapi itu bukan tujuan sunroof dicipta abang oi. Dahlah kepala anak terjulur keluar bawak pula macam rebut. Macam mana kalau ada batu terpelanting ke? Kabel ikat banner jatuh ke? Hish, mintak jauh la. Bahaya wei.

Tags
Google ads
Back to top button