INI SEBAB KENAPA TOYOTA CAMRY JADI SEDAN PALING LAKU DI AMERIKA SYARIKAT
Pengguna di seluruh dunia kini dilihat lebih memilih segmen kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) berbanding segmen lain.
Jadi, pengeluar kenderaan berlumba-lumba untuk memenuhi kehendak itu dengan rekaan dan model terbaru. Malah, ada di antara mereka mengabaikan segmen tradisional seperti sedan demi mencapai matlamat tersebut.
Lain pula ceritanya dengan Toyota. Syarikat automotif berpengaruh dari Jepun itu masih meneruskan pengeluaran model sedan popularnya, Toyota Camry.
Toyota melihat penarikan model-model sedan oleh para pesaingnya sebagai satu peluang merebut perkongsian pasaran. Malah, Toyota percaya bahawa tidak mustahil pengguna akan kembali memilih sedan seperti dahulu.
Apa yang Toyota buat? Camry yang sebelum ini dianggap bosan kini didatangkan dengan versi talaan sport Toyota Racing Development (TRD) bagi model 2020 untuk menarik minat pengguna. Nyata pertaruhan itu membuahkan hasil.
Sedan itu berjaya meraih 5 peratus perkongsian pasaran di antara tahun 2015 hingga 2019, naik daripada 15 kepada 20 peratus.
Hasilnya, ia berjaya mendapat sambutan hangat dan menjadi model paling laris di AS pada tahun 2019.
Tetapi, Camry tidak dapat lari daripada perubahan selera pasaran. Buktinya, jualan semakin jatuh daripada 473,000 unit pada tahun 2007 kepada hanya 337,000 unit pada hari ini.
Biarpun begitu, berdasarkan kepada angka berkenaan, nampaknya Toyota akan terus menghasilkan sedan.