Artikel Pilihan

SERVICE MINOR, SERVICE MAJOR DAN PEMBAIKAN KENDERAAN. MAMPU ATAU TIDAK?

Bagi pemilik kereta, anda perlu melakukan servis kereta berdasarkan jarak perjalanan yang telah ditempuhi atau mengikut sela waktu (6 bulan sekali). Tujuan utama servis yang dirancang ini adalah sebagai pencegahan (prevantion) bagi memastikan kereta selamat digunakan dan tidak mengalami kerosakan.

Bagi pemilik biasa yang kurang pasti berkenaan dengan servis kenderaan, mereka akan beranggapan bahawa servis yang dibuat adalah sama, tak kisah servis minor, servis major, atau kerja baik pulih besar-besaran. Biar kami terangkan sikit untuk anda

1. Servis minor setiap 10,000km- merujuk kepada servis yang paling minima untuk dilakukan dimana pemilik hanya perlu menukar minyak enjin, penapis minyak enjin dan gasket bagi mengetatkan saluran keluar minyak enjin. Gasket ini dipasang bagi mengelakkan thread (alur) skru daripada rosak.

2. Semi major setiap 30,000km- sama sahaja dengan dengan minor kecuali dengan tambahan pemilik perlu menukar penapis udara untuk enjin. Ini bagi memastikan enjin menapis udara dengan efisyen tanpa kehilangan volumetric efficiency.

Bergantung pada jenis kenderaan dan jenama, ketika ini juga pusat servis akan mencadangkan supaya pemilik melakukan servis penyaman udara yang merangkumi penukaran penapis penyaman udara, menambah gas pemampat penyaman udara, menambah minyak pelincir pemampat dan mungkin juga mencuci cooling coil.

Bagi kereta yang menggunakan teknologi VVT, ketika ini anda akan dicadangkan menukar satu set palam pencucu

3. Servis major 40,000km/80,000km/100,000km – selain minyak enjin, pusat servis mencadangkan agar anda menukar semua cecair hidraulik yang ada pada sistem kereta seperti minyak sistem transmisi, minyak brek, cecair radiator.

Tapi ada juga pengeluar yang mencadangkan agar penukaran minyak gear ini dibuat pada 100,000km Disebabkan penukaran semua cecair ini, anda boleh menyediakan bajet sehingga 2 kali ganda lebih banyak. Kebanyakan enjin moden yang menggunakan teknologi dual VVTi/i-Vtec akan mencadangkan agar menukar palam pencucuh (iridium) pada perbatuan ini

Bagi kenderaan dengan teknologi tali sawat, anda perlu menukar satu set tali sawat pemasaan, oil stopper dan auxiliary belt (tali sawat pemampat penyaman udara, alternator dan pam air). Bergantung pada keadaan, kereta dengan teknologi timing chain juga perlu memeriksa dan menukar auxiliary belt ini.

4. Servis tayar – dilakukan setiap 10,000km untuk memanjangkan jangka hayat tayar terutama bagi kereta pacuan depan. Tayar akan diubah kedudukan (rotation) dari depan ke belakang, imbangan semula dan penjajaran semula tayar depan

Semua servis yang kami sebut di atas ini merupakan “preventive service” atau service pencegahan bagi memastikan kenderaan boleh beroperasi dengan sempurna. Jika berlaku kerosakan selain daripada yang disenaraikan di atas, ia boleh dikategorikan sebagai

1. Wear & tear – atau kehausan biasa selari dengan penggunaan kereta dan komponen perlu ditukar seperti pelapik brek depan, kasut brek belakang, cakera brek, mentol, bateri dan juga tayar. Ini disebabkan komponen ini ada jangka hayat tersendiri

2. Top overhaul – dilakukan sekiranya enjin mengalami kepanasan melampau akibat kegagalan sistem radiator dan kepala silinder perlu diperbaiki atau ditukar

3. Overhaul – boleh dilakukan pada enjin bagi mengganti sesetengah komponen yang rosak seperti piston ring, piston, injap dan juga boleh dibuat pada sistem transmisi bagi menggantikan komponen yang rosak

4. Bengkel Badan dan Mengecat – kenderaan akan dihantar ke sini sekiranya kenderaan anda terlibat dengan kemalangan, cesi perlu digantikan komponen baru, dibuat penjajaran semula, dan komponen badan perlu diganti dan dicat semula

Bagi perkara 2 dan 3 kos pembaikan adalah sangat mahal tapi ia sebenarnya jarang berlaku melainkan anda melenjan kenderaan anda di luar parameter operasinya dan gagal mengikuti servis berkala. Bagi kes kemalangan, kos pembaikan akan dilindungi oleh pihak takaful, melainkan anda berhajat untuk melakukan sendiri kos pembaikan

Memiliki kenderaan sendiri mungkin boleh dianggap sebagai pencapaian hidup tapi anda kena ingat ia datang sekali dengan bebanan kewangan yang besar yang boleh merompak kebahagian anda. Yang penting, pilih kenderaan yang sesuai dengan kewangan sendiri, bukan memilih untuk bergaya depan orang kampung.

Google ads
Back to top button