Buletin

SIC KOMITED TENTANG KESELAMATAN – JALANKAN SIASATAN INSIDEN KEROSAKAN, KEMALANGAN

Baru-baru ini kecoh insiden tidak diingini berlaku di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada acara ‘track day’ dan Adrenaline Rush Trackday (ART).

Selain kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic hingga menyebabkan kerosakkan pada penghadang, terdapat juga insiden, yang dianggap sebagai perilaku tak bertanggungjawab.

Menurut laporan, ada pertelingkahan berlaku di fasiliti SIC yang dicetuskan oleh peserta ART 2023. Menerusi imej tular, jelas kelihatan beberapa kemudahan telah dirosakkan.

Sehubungan itu, SIC dalam satu kenyataan mengatakan bahawa mereka memandang serius perkara ini dan komited untuk memastikan keselamatan semua pihak terlibat terjamin.

“Di SIC, kami mengutamakan kesejahteraan, kepuasan pelanggan kami, dan kami sedang menyiasat kejadian termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa serta penganjur acara.

Pihak berkuasa akan mengumpulkan semua maklumat diperlukan dan mengambil tindakan sewajarnya.”

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kelakuan yang menjejaskan semangat positif di tempat kami,” Jelas SIC.

Tambahnya lagi, “Kami menggalakkan hadirin untuk melaporkan segera kepada kakitangan kami atau saluran rasmi sekiranya terdapat sebarang kebimbangan atau insiden.”

Google ads
Back to top button