
SINGER TURBO STUDY – MODIFIKASI 911 TURBO BERKUASA 450 HP!
Mereka yang mengenali jenama Singer (bukan jenama mesin jahit) pasti tahu akan beberapa projek kelolaan syarikat itu seperti Dynamic Lightweight Study dan Classic Study yang menggunakan model Porsche berenjin sejukan udara.
Namun kali ini, syarikat Singer memecahkan tradisi dengan memperkenalkan model talaan pertama yang menggunakan turbocharger, iaitu Turbo Study.

Menurut bosnya, Rob Dickinson menjelaskan setiap komponen di bahagian luar telah diubah dan diperbuat daripada gentian karbon, kecuali pintu sahaja yang masih kekal daripada model penderma 964.
Sementara rekaan sayap belakang itu dihasilkan sendiri oleh Singer.
Projek Turbo Study ini tampil dengan enjin 3.8 liter turbo berkembar boxer flat-six yang mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 450 kuasa kuda.
Namun pelanggan Turbo Study ini masih boleh meminta Singer untuk menala kembali enjin ini kepada output yang diinginkan.

Kuasa itu tadi boleh disalurkan kepada roda belakang atau pacuan semua roda menerusi transmisi manual enam nisbah kelajuan, serta tetapan suspensi sebuah jentera Grand Touring yang lebih selesa.
Pembeli juga boleh menambah ciri seperti tempat duduk berkuasa elektrik dengan pemanas terbina serta kawalan cengkaman ke atas spesifikasi sedia ada.
Dari standard kilang, Turbo Study ini didatangkan dengan ciri brek anti-kunci, stereng berkuasa, serta sistem kawalan cengkaman.
















