Buletin

SKANDAL KOBE STEEL MUNGKIN JEJASKAN KUALITI PRODUK PENGELUAR KERETA DAN PESAWAT TERBANG

Syarikat pembekal logam ketiga terbesar Jepun, Kobe Steel kini terjebak dalam skandal yang dikatakan akan menjejaskan kualiti bahan aluminium dan tembaga yang digunakan dalam permbuatan kereta, pesawat, roket dan peralatan ketenteraan.

Rabu lepas, syarikat tersebut memaklumkan yang mereka telah mengesan pemalsuan data pada serbuk bijih besi yang biasanya digunakan pada komponen kenderaan seperti gear dan telah dihantar kepada pelanggan. Sebelum ini Kobe mengakui yang mereka juga telah mengesan pemalsuan pada data berkenaan dengan ketahanan dan kekuatan produk aluminium dan tembaga mereka yang banyak digunakan oleh industri pengangkutan dan industri ketenteraan.

Saham Kobe menjunam 18 peratus selepas pengakuan tersebut menyebabkan kerugian sekitar USD1.6 billion. Mereka juga sedang mengesan jika proses memanipulasi data ini pernah berlaku sebelum ini.

Toyota, satu daripada pelanggan Kobe berkata yang ini merupakan isu yang sangat besar. Dikatakan lebih daripada 200 syarikat akan terjejas dengan skandal ini. Kobe juga merupakan pembekal bahan mentah kepada Ford, Toyota, Honda, Mazda dan Subaru selain pengeluar pesawat seperti Boeing dan Mitsubishi Heavy Industries. Hitachi mengatakan yang produk keretapi yang dieksport ke UK turut terjejas tetapi keretapi tersebut belum lagi memulakan operasi.

Toyota, Nissan dan Honda mengesahkan yang mereka telah menggunakan bahan aluminium yang dibekalkan oleh Kobe pada bahagian bonet dan pintu. Toyota turut menyatakan yang mereka sedang berusaha dengan secepat mungkin untuk mengenal pasti model mana yang terlibat dan bahagian komponen yang mungkin terjejas.

Jurucakap Toyota menyatakan yang mereka sedang merancang tindakan yang bakal diambil berikutan isu ini. Toyota sudah lama mengingatkan pembekal mereka agar cukup teliti dalam proses membekalkan produk kepada mereka. Mereka menganggap isu ini sebagai suatu isu yang cukup besar.

Nissan turut mengesahkan penggunaan aluminium yang dibekalkan Kobe pada sebahagian bonet dan pintu kenderaan keluaran mereka. Memandangkan bahagian bonet hadapan berkait rapat dengan keselamatan pejalan kaki, mereka sedang berusaha secepat mungkin untuk mengesan sebarang impak pada fungsi kenderaan tersebut.

Kobe juga telah memulakan siasatan terhadap Kobelco Research Institute, yang bertanggungjawab menguji produk-produk keluaran syarikat dan setakat ini telah menemui 70 kes pemalsuan data pada bahan yang digunakan untuk pembuatan cakera optik dan LCD (liquid crystal display).

Kobe, satu daripada syarikat industri paling tua di Jepun berkata yang mereka telah menghubungi semua pelanggan dan berusaha untuk mengenalpasti sama ada produk yang dibekalkan mereka selamat untuk digunakan. Pada masa ini mereka percaya tahap keselamatan produk masih lagi selamat. Pemeriksaan yang dijalankan setakat ini juga masih belum menemui masalah pada sebarang produk.

Syarikat juga telah menubuhkan satu jawatankuasa yang diketuai oleh presiden syarikat, Hiroya Kawasaki untuk menyiasat isu berkenaan kualiti dan melantik syarikat guaman untuk melakukan siasatan pada semua cabang perniagaan syarikat termasuk di luar negara. Mereka telah menemui bukti salahlaku pada peringkat pemeriksaan dalaman.

BACA: TOYOTA AKHIRI PENGELUARAN DI AUSTRALIA SELEPAS 54 TAHUN BEROPERASI

Yoshihiko Katsukawa, seorang pegawai tinggi Kobe berkata pada satu sidang akhbar, mereka tidak menafikan kemungkinan penemuan kes salah laku lain dalam siasatan tetapi menambah setakat ini masih belum ada aduan berkenaan isu keselamatan ataupun berhenti membeli produk mereka.

Syarikat Central Railway Japan juga mengaku sebahagian produk keluaran Kobe untuk keretapi peluru Jepun tidak memenuhi piawaian standard industri Jepun tetapi tidak mengakibatkan sebarang isu keselamatan.

Kobe kini menerima tekanan daripada kerajaan Jepun agar menyelesaikan krisis ini secepat mungkin, bukan hanya untuk pelanggan tetapi untuk seluruh masyarakat dunia yang terjejas akibat isu tersebut.

Sumber theguardian.com

Tags
Google ads
Back to top button