JENTERA BOMBA REMPUH STESEN MINYAK SELEPAS BERLANGGAR SUV
Sebuah jentera bomba yang dalam perjalanan ke lokasi kejadian kebakaran merempuh stesen minyak apabila dihentam SUV di Detroit, Amerika Syarikat.
Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), jentera bomba berkenaan yang dipandu laju sedang menuju persimpangan berdekatan Dequindre dan State Fair sebelum berlanggar dengan sebuah Lincoln Navigator berwarna hitam.
Difahamkan, pemandu SUV berkenaan gagal mengelak dan melanggar sisi jentera bomba tersebut.
Berikutan hentakan kuat, SUV terbabit terbabas ke tiang lampu manakala jentera bomba merempuh sebuah van yang sedang mengisi minyak di stesen minyak.
Kemalangan itu menyebabkan van berkenaan berpusing sekali gus mengakibatkan kebakaran di pam minyak tetapi api tidak bertahan lama.
Seorang saksi mendakwa kepada Fox 2 Detroit, lampu isyarat menunjukkan lampu hijau pada laluan SUV Navigator sebelum berlanggar jentera bomba.
Kesemua tujuh mangsa terlibat dalam kemalangan mengalami cedera ringan.
Polis Detroit sedang menyiasat insiden terbabit tetapi masih belum dapat dipastikan siapa yang menyebabkan kemalangan. – carscoops.