
SKODA SUPERB BAHARU – SEGMEN D YANG BAIK UNTUK BOS BOS
Model Skoda Superb ini sememangnya model segmen D yang boleh tahan popular di benua Eropah. Ianya boleh dianggap sebagai alternatif terbaik sekiranya anda sudah jemu dengan saudaranya si Volkswagen Passat.
Umum juga mengetahui akan hubungan rapat diantara keduanya antara Superb dan juga Passat sementelah ianya berkongsi pelantar yang sama semenjak Skoda Auto berada di bawah naungan Kumpulan Volkswagen. Dan kini, Skoda Superb telah pun memasuki generasi baharu keempat dengan menampilkan rekaan yang lebih canggih, lebih luas serta menampilkan lebih teknologi.

Dengan rekaan yang lebih aerodinamik sudah pastinya akan menjanjikan lebih penjimatan bahan bakar disamping dapat meningkatkan prestasi kereta. Pada bahagian hadapan menampilkan rekaan gril berbentuk oktagon baharu yang akan digunakan pada dua varian meliputi Salon dan juga Estate / Wagon / Combi. Pancaran hadapan kini menggunakan lampu LED Matrix generasi baharu. Pada apron hadapan juga didatangkan dengan kemasan Unique Dark Chrome.

Terima kasih kepada aerodinamik yang telah dipertingkatkan meliputi rekaan pada Pilar A cermin luar, rekaan bampar dengan tirai udara yang membolehkan kadar pekali seretan telah berkurang ke 0.23, kira kira 10% lebih rendah berbanding model sebelumnya. Disebabkan model ini juga telah mengalami perubahan dimensi, ruang but di belakang juga telah dipertingkatkan sehingga 645 liter (tambah 20 liter berbanding sebelumnya untuk varian salon) dan juga 690 liter untuk model Wagon (tambah 30 liter berbanding sebelumnya).
Rekaan belakang selain daripada tertera perkataan SKODA di bahagian tengah, juga menampilkan rekaan lampu baharu yang kelihatan lebih kecil berbanding model sebelumnya dengan rekaan bahagian bampar belakang lebih minimalis. Tapi kalau diperhatikan secara teliti, rekaan belakangnya sedikit tinggi dengan menyerupai model liftback gayanya.

Bahagian kabinnya menampilkan tempat duduk dibalut fabrik uplholsteri dengan fungsi kawalan mengurut pneumatik serta ruangan storan yang lebih banyak kepada pengguna. Paparan sistem infohiburan bersaiz 13 inci serta paparan Virtual Cockpit bersaiz 10 inci juga tersedia untuk pemandu dan juga penumpang.
Skoda Auto akan menawarkan enam rangkaian trenkuasa untuk model Superb ini termasuklah enjin 1.5 liter TSI yang digandingkan dengan sistem hibrid ringan, pertamanya untuk model enjin pembakaran dalaman bagi model keluaran Skoda. Juga akan ditawarkan adalah trenkuasa hibrid plug-in. Dan pastinya enjin yang lebih berkuasa, 2.0 liter TSI serta 2.0 liter TDI yang akan digandingkan dengan kotak gear DSG.
BACA : ŠKODA SUPERB SCOUT BAHARU – WAGON KE CROSSOVER NI?
BACA : ŠKODA SUPERB – MENYELUSURI SEJARAH SEPANJANG 90 TAHUN



