BERMINAT NAK BELI VOLKSWAGEN ID. BUZZ? KAU SABAR JAP…
Selepas lebih sejam menjawab soalan daripada media yang menyertai sesi pandu uji Volkswagen Touareg ke Gambang, Kuantan baru-baru ini, Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM), Denyu Bostandzhiev melontarkan satu persoalan yang menarik kepada kami.
“Apa pendapat anda semua tentang ID. Buzz? Adakah ia akan berjaya jika dijual di Malaysia?” soal Denyu.
Ini adalah satu soalan yang agak mengejutkan sebenarnya. Ini kerana model ID. Buzz tidak pernah ada dalam bayangan kami akan diperkenalkan di sini, walaupun VPCM ada memberi bayangan untuk memperkenalkan EV ke pasaran tempatan apabila membuat preview ID.4 pada acara Volkswagen Fest 2022.
Namun, rancangan tersebut nampaknya senyap sahaja sehingga kini, sedangkan jenama lain terutama dari China dan Korea begitu rancak melancararkan model EV terbaharu masing-masing.
Harus tahu bahawa jika dijual secara rasmi oleh VPCM, varian yang dipilih ialah ID. Buzz dengan tujuh tempat duduk. Justeru, ia akan bersaing secara langsung dengan EV flagship daripada Kia, EV9. SUV tujuh tempat duduk itu kini ditawarkan dalam dua varian pada harga bermula RM369,000.
Jadi kalau hendak menarik minat pembeli, secara logiknya ID Buzz tidak boleh hadir pada harga yang terlalu tinggi berbanding EV9. Oh ya, selain EV9, ID Buzz juga perlu bersaing dengan Maxus Mifa 9 yang harganya jauh lebih murah iaitu RM,269,888 seunit.
Harga itu boleh dikatakan murah untuk sebuah MPV EV tujuh tempat duduk, tetapi saya tidak pernah pula nampak Mifa 9 di atas jalan raya.
Sebenarnya, ID. Buzz sudah ada dibawa masuk ke pasaran Malaysia melalui pengimport parallel sejak beberapa tahun lalu. Tetapi, dengan harga hampir setengah juta ringgit dan sudahpun turun menjadi RM400,00 unit tersebut dikatakan masih tersadai di kedai tanpa ada pembeli.
ID. Buzz ialah homage kepada model ikonik Volkswagen T1 Kombi tetapi dijana oleh rangkaian kuasa elektrik. MPV berkenaan menggunakan bateri berkapasiti 91kW yang mampu mencatat perjalanan sejauh 500km (WLTP) dengan sekali caj.
Jarak itu sebenarnya sudah cukup bagus untuk kegunaan di bandar atau pulang ke kampung halaman yang tidak terlalu jauh dan mempunyai rangkaian pengecasan lebih efisien seperti menghala ke utara misalnya.
Dari segi prestasi, MPV tiga baris tempat duduk dengan konfigurasi enam atau 7 kerusi itu menggunakan motor tunggal pacuan roda belakang. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 286hp dengan pecutan maksimum 160km/j, manakala 0-100km/j boleh dicapai dalam masa 7.9 saat.
Sedia maklum bahawa pasaran MPV di Malaysia sudah lama dimonopoli oleh Toyota Alphard dan Vellfire yang mencatat jualan sekitar 20,000 hingga 22,000 unit setahun.
Jadi, untuk bersaing pastinya sangat sukar. Sekiranya benar VPCM ingin menjual ID. Buzz, ia perlu diposisikan sebagai sebuah produk untuk gaya hidup dan bukannya MPV mewah seperti yang dibawa oleh kedua-dua MPV tersebut.
“Kami melihat perkara ini cukup mudah. Pelanggan yang memandu atau menaiki Alphard dan Vellfire tidak mahu dilihat oleh orang lain, tetapi anda perlu dilihat jika memandu sebuah ID. Buzz. Sebab itulah tidak ada ID Buzz berwarna gelap atau hitam, sebaliknya ia hadir dengan warna dua tona yang ceria,” kata Denyu.
Bagi saya, VPCM wajar membawa masuk ID. Buzz untuk menaikkan lagi jenama Volkswagen. Malah, tidak mustahil jentera dapat menarik minat kelompok pembeli baharu kepada jenama Eropah tersebut.
Apa pun, setakat ini masih belum ada petunjuk jelas sama ada VPCM akan menawarkan ID. Buzz atau sebaliknya. Kita tunggu sahaja lah, sambil-sambil tu boleh kumpul duit. Betul tak?
- BACA: VOLKSWAGEN ID.BUZZ GTX DIPERKENALKAN. VERSI VAN ELEKTRIK YANG LEBIH BERKUASA
- BACA: BEST CARS OF THE YEAR 2023/2024: VOLKSWAGEN ID. BUZZ MUNCUL JUARA
- BACA: 2 BUAH VW KOMBI NAK JUAL, RASA BERAPA HARGA?
- BACA: INILAH VW KOMBI TERAKHIR – DARI 1957 HINGGA 2013
GALERI