
SPESIFIKASI LEPAS L6 EV DIDEDAHKAN DI THAILAND – JANA 218HP, JARAK GERAK 500KM, ANGGARAN HARGA MULA RM90K
Jenama baharu di bawah Kumpulan CHERY, LEPAS, telah membuat pendedahan spesifikasi model SUV elektrik sepenuhnya LEPAS L6 EV di Thailand, dan bakal dilancarkan pada 24 Julai ini.
Thailand dipilih sebagai pasaran pertama dunia untuk versi pemanduan sebelah kanan (RHD) LEPAS L6 EV, selain menjadi lokasi pemasangan model tersebut di kilang CHERY Group di Daerah Nikhom Pattana, Rayong.
Kehadiran LEPAS turut menjadikan jumlah jenama rasmi CHERY Group di Thailand meningkat kepada empat, dengan beberapa lagi sub-jenama dijangka diperkenalkan pada masa akan datang.

LEPAS turut merancang pengembangan global melibatkan 89 negara termasuk United Kingdom, Eropah, Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Untuk pasaran Thailand, LEPAS L6 EV dijangka ditawarkan pada harga sekitar 700,000 baht (sekitar RM90,000 hingga RM95,000).
Dari segi dimensi, LEPAS L6 EV memiliki panjang 4,570mm, lebar 1,852mm dan tinggi 1,683mm dengan jarak roda 2,700mm. SUV elektrik ini turut menampilkan reka bentuk aerodinamik dengan pekali seretan udara 0.28 Cd.

Ruang simpanan belakang menawarkan kapasiti antara 435 liter hingga 1,255 liter apabila tempat duduk belakang dilipat, selain ruang tambahan 99 liter di bahagian bawah but belakang dan ruang “frunk” hadapan berkapasiti 38 liter. Model ini juga mampu meredah air sedalam sehingga 500mm.
Dari aspek kuasa, LEPAS L6 EV menggunakan satu motor elektrik pacuan roda hadapan (FWD) yang menghasilkan 218hp dan 275Nm tork.
Ia dipadankan dengan bateri berkapasiti 65.05kWh yang membolehkan SUV ini bergerak sejauh sehingga 500km mengikut standard NEDC.

Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam tempoh 7.9 saat, manakala sistem pengecasan pantas DC menyokong kuasa sehingga 120kW dengan masa pengecasan 30 hingga 80 peratus hanya sekitar 20 minit.
Turut disediakan ialah fungsi V2L dengan output maksimum 3.3kW bagi membolehkan bekalan kuasa disalurkan kepada peranti luaran.
Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk lampu utama LED Dual Projector Lens, rim aloi 18 atau 19-inci, bumbung panoramik kaca, tempat duduk pemandu larasan elektrik 10 hala bersama fungsi memori, sokongan lumbar elektrik, sistem pengudaraan dan pemanas tempat duduk.

Ruang kabin pula dilengkapi cip Snapdragon 8155, kluster meter digital LCD 8.8-inci, skrin sentuh UHD 2K bersaiz 13.2-inci, pengecas telefon tanpa wayar 50W serta sambungan USB Type-A dan Type-C.
Dari sudut keselamatan dan bantuan pemanduan, LEPAS L6 EV hadir dengan sistem ADAS Tahap 2 merangkumi 17 fungsi termasuk Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking (AEB), Blind Spot Detection, Lane Keeping Assist, Rear Cross Traffic Alert dan bantuan parkir automatik.
Model ini turut dilengkapi satu cip Orin-Y LiDAR, 11 kamera, tiga radar serta 12 sensor ultrasonik. Ciri lain termasuk kamera 360 darjah, fungsi Transparent Chassis, Sentry Mode serta kawalan kenderaan menerusi aplikasi telefon pintar.

Untuk pilihan warna, LEPAS L6 EV ditawarkan dalam lima pilihan iaitu oren, ungu, putih, hitam dan kelabu.
- BACA: BUDI DIESEL: 200,000 PEMILIK KENDERAAN NIKMATI KUOTA 300 LITER
- BACA: ISU BUMBUNG PANORAMIK HANTUI BYD TI7 EV – KOMPONEN LONGGAR, BOCOR
- BACA: YAMAHA BANGUNKAN SKUTER HIBRID – ENJIN SATU SILINDER, DUA MOTOR ELEKTRIK, KLAC AUTO
- BACA: FERRARI 12CILINDRI MANUALE – TOMBOL MANUAL SIAP KLAC TAPI AUTO?

