Buletin

ISU BUMBUNG PANORAMIK HANTUI BYD TI7 EV – KOMPONEN LONGGAR, BOCOR

SUV elektrik BYD Ti7 dilaporkan berdepan isu melibatkan bumbung kaca panoramik di China apabila sejumlah pemilik mendakwa komponen itu longgar dan menyebabkan kebocoran air.

Menurut laporan daripada platform aduan pengguna automotif China, 12365auto, sebanyak 300 aduan berkaitan model Ti7 telah direkodkan sejak model itu dilancarkan pada September 2025.

Bagaimanapun, isu bumbung kaca ini hanya melibatkan varian elektrik (EV), dengan aduan pertama mula muncul selepas pelancarannya pada 30 April lalu.

Pemilik mendakwa bahagian kiri belakang bumbung kaca panoramik itu mudah terangkat dalam tempoh kurang seminggu selepas kenderaan diserahkan. Keadaan itu dikatakan menyebabkan bunyi angin lebih kuat ketika memandu selain membolehkan air hujan masuk ke dalam kenderaan.

Ada juga pemilik mendakwa panel kaca tersebut boleh ditekan semula ke tempat asal, namun ia hanya bersifat sementara sebelum kembali longgar.

Lebih membimbangkan, laporan daripada platform pengguna China, SMZDM, menyatakan kebocoran itu turut menyebabkan air bertakung di kawasan port pengecasan belakang Ti7. Aduan berhubung perkara tersebut difailkan pada 23 Jun, namun laporan itu kemudiannya dipadamkan.

Sementara itu, akaun komuniti automotif 3YC Ownership Report yang memfokuskan kepada BYD di platform WeChat berpendapat masalah berkenaan mungkin berpunca daripada proses pemasangan di kilang, termasuk ketidakseimbangan tekanan atau penggunaan bahan pelekat yang tidak sekata ketika pemasangan bumbung kaca.

Setakat ini, masalah itu tidak dilaporkan berlaku pada varian plug-in hybrid (PHEV), sekali gus menimbulkan kemungkinan ia hanya melibatkan kumpulan awal Ti7 EV yang baru dikeluarkan.

BYD bersama pengedar di bawah sub-jenama Fang Cheng Bao (FCB) dilaporkan telah memberi maklum balas kepada lebih 99 peratus daripada keseluruhan aduan yang diterima, namun ramai pemilik masih tidak berpuas hati dengan penyelesaian ditawarkan.

Seorang pemilik turut mendakwa pihak khidmat selepas jualan BYD pernah menghubunginya dan menawarkan penyelesaian sekiranya aduan dipadamkan, namun tiada persetujuan dicapai dan tiada pampasan atau kerja pembaikan dilakukan.

Sehingga kini, sebanyak 31 aduan rasmi berkaitan bumbung kaca tertanggal telah difailkan. BYD memaklumkan isu berkenaan telah diserahkan kepada pihak berkaitan dan pemilik diminta menunggu tindakan lanjut daripada syarikat.

Ti7, yang turut dikenali sebagai Tai 7 di China, dipasarkan di bawah sub-jenama FCB.

Data daripada China EV DataTracker menunjukkan sebanyak 17,510 unit Ti7 dihantar kepada pelanggan di China pada Mei 2026, menurun berbanding kemuncak 34,086 unit pada Disember tahun lalu apabila model itu pernah menjadi SUV ketiga paling laris di negara berkenaan.

BYD turut meningkatkan penghantaran Ti7 EV pada Mei dan Jun 2026 masing-masing sebanyak 1,800 dan 4,554 unit. Isu bumbung kaca ini dipercayai mula timbul ketika pengeluaran dan penghantaran model tersebut dipertingkatkan.

Google ads
Back to top button