Buletin

SSANGYONG DEDAH TEASER SUV BAHARU TORRES

Biarpun berdepan dengan masalah kewangan, ia tidak menghalang jenama automotif SsangYong daripada terus mengembangkan lagi penawaran model kenderaan mereka di pasaran utama.

Terbaharu, pengeluar daripada Korea itu memperlihatkan teaser sebuah SUV baharu yang bakal dikenali sebagai Torres, di mana ia sebenarnya merupakan nama produksi sebenar bagi projek J100 yang diumumkan pada tahun lalu.

Nama Torres itu diambil daripada nama taman Torres del Paine National Park yang terletak di Patagonia, dan secara tidak langsung SsangYong mahu memperlihatkan sifat sebenar SUV itu dalam dunia nyata.

Menurut SsangYong lagi, Torres merupakan model pertama yang membawakan bahasa rekaan terbaharu ‘Powered by Toughness’, dengan menampilkan elemen seperti lampu LED nipis, gril ala-ala Jeep, skidplate pada bampar depan dan belakang, serta rim berdiameter besar yang dibaluti tayar all-terrain.

Torres bakal diposisikan antara model SUV Korando dan Rexton, di mana SsangYong berharap model ini mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terutama bagi SUV dengan penampilan yang ranggi.

Selain model versi enjin, SsangYong akan turut menghasilkan SUV elektrik (dengan kod nama U100) yang bakal diperkenalkan di Eropah menjelang akhir tahun 2023.

Google ads
Back to top button