Buletin

BELI DULU, BARU BOLEH CAKAP AWAK PUNYA PARKIR – NETIZEN

Masalah kekurangan ruang parkir kenderaan terutama di kawasan perumahan yang padat bukanlah satu isu baru. Situasi itu turut membuatkan ramai penghuni berebut parkir dengan meletak pelbagai objek di ruang parkir yang didakwa menjadi milik mereka. 

Terbaharu, tular satu nota yang ditulis oleh seorang individu yang nyata tidak berpuas hati apabila ‘ruang parkir miliknya’ diambil orang.

“Ini parkir orang. Kalau dah letak ‘tanda’ kerusi itu bermakna parkir tersebut milik seseorang. Suka hati nak ambil parkir aku, pandai pula pulangkan kerusi itu ke rumah aku. Cerdik ke bengap?,” kata pemilik rumah itu yang berkongsi nota tersebut di laman Twitter.

Difahamkan kejadian berebut parkir berkenaan berlaku di salah sebuah kawasan perumahan flat, namun tidak dinyatakan dengan jelas lokasinya.

Biarpun perkongsian itu mungkin hendak mendapatkan sokongan atas tindakan itu, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Malah, rata-rata meninggalkan komen termasuk daripada penduduk setempat nyata tidak bersetuju dengan isi kandungan nota berkenaan. 

“Siapa cepat dia dapat,” tulis Muhammad Shukri. “Beli parkir itu baru boleh cakap awak punya parkir. Tak letak kerusi pun orang tak berani nak ambil,” komen pengguna lain.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Fasha Ridzwan. “Yang bengapnya diri sendiri. Duduk flat berlagak macam duduk kondominium mewah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button