Buletin

SUBARU USA PERKENAL WRX STI Type RA & BRZ tS 2018 – 500 UNIT SAHAJA! 

Subaru of America, Inc. telah memperkenalkan dua model berprestasi tinggi yang baru iaitu WRX STI Type RA dan Subaru BRZ tS 2018. 

Kedua-dua jentera itu menerima sentuhan Subaru Tecnica International, Inc. (STI), khas untuk peminat tegarnya. Hanya 500 unit dihasilkan dan dijangka berada di pasaran pada suku pertama 2018.

WRX STI Type RA

RA yang bermaksud Record Attempt atau cubaan mencipta rekod telah diaplikasikan ke atas banyak model berprestasi tinggi Subaru sebelum ini. Ia bermula pada tahun 1989 apabila Subaru Legacy versi perlumbaan berjaya memecahkan rekod FIA World Speed Endurance dengan mencatat jarak sejauh 99,779km dalam masa 18 hari dan kelajuan maksimum 222km/j.

Semangat memecahkan rekod itu akan diteruskan dengan model khas untuk perlumbaan WRX STI Type RA NBR Special di litar Nürburgring, musim panas nanti.

Prestasi WRX STI Type RA 2018 ditingkatkan dengan pengurangan berat, selain naik taraf suspensi dan enjin. Jentera itu dipasang dengan nombor siri, panel bumbung, wing gentian karbon, rim BBS ringan bersaiz 19 inci dan tayar gantinya dibuang.

Ia dikuasakan oleh enjin turbocharged BOXER bersesaran 2.5 liter dengan kuasa 310hp dan dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Kuasa tersebut dapat dicapai dengan penggunaan sistem pengambilan udara STI dan ekzos baharu. ECU juga telah menerima talaan semula.

Aspek pengendalian dimantapkan lagi dengan suspensi double wishbone dan peredam Bilstein. Sistem brek pula menggunakan khidmat brek Brembo dengan monoblok 6 angkup di hadapan dan dua angkup di belakang.

WRX STI Type RA boleh dikenal pasti dengan mudah melalui gril mesh dan pelindung bampar belakang yang baru. Emblem WRX STI Type RA juga ditampal pada bahagian belakang. Di ruang kabin, jentera itu dibezakan menerusi tempat duduk hadapan Recaro dengan sulaman logo STI dan jahitan benang berwarna merah.

BRZ tS

2018 BRZ tS (ditala oleh STI) menjanjikan keseronokan memandu dan pengendalian sebenar. BRZ terkenal dengan titik graviti yang ultra rendah. BRZ tS kini dilengkapi peredam SACHS talaan STI pada semua roda, selain pelekap V yang fleksibel di bahagian enjin.

Jentera itu dipasang dengan rim STI ringan bersaiz 18 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot® Sport 4. Brek Brembo melengkapkan lagi pakej tersebut. Penampilan luaran kini lebih agresif dengan spoiler belakang gentian karbon STI yang eksklusif. Spoiler itu boleh dilaras secara manual untuk memberikan  kuasa downforce terbaik.

Selain itu, BRZ tS hadir bersama cermin sisi boleh lipat, antena jenis shark fin dan perumah lampu kabus STI.

Ruang kabin menampilkan upholsteri kulit Alcantara bersama jahitan benang merah. Ia juga dipasang dengan tali pinggan keledar berwarna merah sebagai ciri standard. WRX STI Type RA dan BRZ tS 2018 akan ditawarkan dalam warna biru, hitam dan putih.

BACA: SIAPAKAH HERO RALI JEPUN? MITSUBISHI LANCER EVO ATAU SUBARU IMPREZA?

GALERI

Google ads
Back to top button