Buletin

OMODA | JAECOO KINI JENAMA AUTOMOTIF KELIMA TERLARIS, TEMPAHAN JAECOO J5 EV DIBUKA

OMODA | JAECOO Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri automotif tempatan apabila muncul sebagai jenama automotif kelima paling laris di Malaysia setakat tahun ini, seiring sambutan ulang tahun kedua jenama itu di negara ini.

Majlis sambutan yang bertemakan “Beyond 30,000, Celebrating Every Journey | One Million Forward” turut meraikan pencapaian lebih 32,000 penghantaran kenderaan kepada pelanggan di seluruh negara, selain menyaksikan pembukaan tempahan bagi model elektrik sepenuhnya (EV) pertama syarikat, JAECOO J5 EV.

Sejak memasuki pasaran Malaysia dua tahun lalu, OMODA | JAECOO mencatat perkembangan pesat dengan lebih 8,100 unit kenderaan diserahkan kepada pelanggan sepanjang 2026 sehingga Julai.

Pencapaian itu sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara pasaran antarabangsa paling penting bagi jenama tersebut.

Antara model yang menjadi pemacu utama jualan ialah JAECOO J5 yang diperkenalkan pada Mac lalu.

Dalam tempoh hanya empat bulan, SUV premium itu berjaya merekodkan lebih 2,500 penghantaran hasil gabungan reka bentuk moden, teknologi pintar dan ciri praktikal yang memenuhi keperluan pengguna tempatan.

Bagi meneruskan momentum pertumbuhan, OMODA | JAECOO Malaysia kini membuka tempahan untuk JAECOO J5 EV, yang dijangka ditawarkan pada harga bermula sekitar RM125,000.

Model itu bakal menjadi EV pertama jenama berkenaan dipasarkan di Malaysia dan memperkukuh strategi elektrifikasinya.

Prestasi segmen kenderaan tenaga baharu (NEV) syarikat turut menunjukkan peningkatan ketara. Sepanjang separuh pertama 2026, sebanyak 2,300 unit NEV berjaya dihantar kepada pelanggan berbanding hanya 244 unit dalam tempoh sama tahun lalu, mewakili peningkatan sebanyak 843 peratus.

Kehadiran JAECOO J5 EV melengkapkan lagi rangkaian produk OMODA | JAECOO yang kini merangkumi kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid plug-in (PHEV) dan EV sepenuhnya, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna Malaysia.

Memasuki fasa pertumbuhan baharu, OMODA | JAECOO Malaysia berhasrat untuk terus memperluaskan penawaran teknologi mobiliti pintar serta meningkatkan pengalaman pemilikan pelanggan bagi menyokong perkembangan industri automotif negara ke arah masa depan yang lebih lestari.

JAECOO J5 EV

SUV elektrik kompak tersebut hadir dengan dimensi sepanjang 4,380mm, lebar 1,860mm dan tinggi 1,650mm, manakala jarak roda berukuran 2,620mm bagi menawarkan ruang kabin yang lebih selesa.

Dari segi kelengkapan, J5 EV dilengkapi rim aloi 18-inci, bumbung panoramik berkemasan hitam berkilat bersama pelindung suria elektrik, serta pintu belakang berkuasa.

Bahagian dalaman pula menampilkan upholsteri kulit sintetik, tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan fungsi pengudaraan, selain sistem pencahayaan ambien 64 warna.

SUV ini turut dibekalkan dengan skrin sentuh infotainmen bersaiz 13.2-inci, paparan instrumen digital lapan inci, sistem audio lapan pembesar suara, pengecas telefon pintar tanpa wayar 50W serta fungsi telematik.

Dari aspek teknologi, model ini dilengkapi pelbagai ciri pintar termasuk sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), kamera pandangan sekeliling berdefinisi tinggi serta skrin infotainmen bersaiz besar yang menjanjikan pengalaman pemanduan lebih moden dan selamat.

Selain itu, fungsi Vehicle-to-Load (V2L) membolehkan tenaga daripada bateri digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik luaran, menjadikannya sesuai untuk aktiviti perkhemahan atau riadah bersama keluarga.

Spesifikasi Utama JAECOO J5 EV:

  • Motor elektrik hadapan
  • Kuasa maksimum: 155kW (211PS)
  • Tork maksimum: 288Nm
  • Bateri: 58.9kWh CATL Lithium Iron Phosphate (LFP)
  • Jarak pemanduan: sehingga 402km (WLTP)
  • Pengecasan DC: 30% hingga 80% dalam 28 minit
  • Fungsi Vehicle-to-Load (V2L)
  • Active Grille Shutter (AGS)
  • ADAS Tahap 2+ dengan 19 ciri keselamatan pintar
  • Kamera 540° HD Surround View
  • Skrin infotainmen tengah 13.2-inci resolusi 2K
  • Bumbung kaca panoramik 1.45 meter persegi
  • Cermin sisi hadapan dwi-lapisan (double-glazed)
  • Suspensi belakang multi-link
  • Kawalan iklim automatik dua zon
  • Frunk berkapasiti 35 liter
  • Ruang kargo belakang 480 liter
  • 35 ruang simpanan pintar dalam kabin

Seperti dinyatakan di atas, JAECOO J5 EV dijangka ditawarkan pada harga bermula sekitar RM125,000.

Google ads
Back to top button