
SUZUKI FRONX HIBRID RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA – JANA 103PS, JARAK GERAK 700KM, HARGA BERMULA RM147K
Suzuki Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV kompak terbaharunya, Fronx Hybrid serba baharu untuk pasaran tempatan.
Frоnx hadir sebagai crossover segmen-B dengan dimensi yang padat namun praktikal: panjang 3,995mm, lebar 1,765mm, tinggi 1,550mm dan jarak roda 2,520mm.
Saiz ini meletakkan Fronx sebaris dengan pesaing popular seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V.

Dari segi rekaan, Fronx tampil dengan lampu siang LED nipis yang mengapit lampu utama jenis split, manakala lampu belakang menampilkan rekaan rentang penuh yang menyerlahkan gaya moden. Rim 16-inci menambahkan aura sporty pada keseluruhan penampilannya.
Bahagian kabin pula dilengkapi paparan infotainmen sembilan inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, HUD, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa automatik, serta corong penghawa dingin untuk penumpang belakang.
Bagi pilihan warna, ia diserlahkan dengan kemasan dua tona;Rising Orange + Cool Black, Savanna Ivory + Cool Black and Ice Grayish Blue + Cool Black.

Manakala kemasan satu tona pula diserlahkan melalui pilihan warna; Pearl Mellow Deep Red, Cool Black, Pearl Snow White serta Magma Gray.
Di bahagian janakuasa, Fronx menggunakan enjin petrol hibrid 1.5 liter K15C empat silinder yang mampu menghasilkan 103PS pada 6,000rpm dan tork 138Nm pada 4,400rpm.
Unit ini digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan bersama penukar gear pada stereng, memberikan penghantaran kuasa yang lebih lancar serta responsif, di samping kecekapan bahan api yang baik.

Ia turut dilengkapi bateri Lithium-Ion 12V-10Ah dan tangki bahan api 37 liter, membolehkan SUV kompak ini mencapai jarak pemanduan melebihi 700km mengikut piawaian WLTP.
Aspek keselamatan turut menjadi fokus apabila enam beg udara ditawarkan sebagai standard, manakala varian lebih tinggi dijangka menampilkan pakej ADAS lengkap dengan:
- Brek kecemasan automatik (AEB)
- Kawalan kelajuan adaptif
- Lane keep assist
- Amaran keluar lorong
- Pemantauan titik buta
- Amaran lintasan trafik belakang
- Kamera 360 darjah
- High Beam Assist
Fronx untuk pasaran Malaysia hadir dengan jaminan kenderaan selama tiga tahun atau 100,000km, manakala komponen baterinya dilindungi lima tahun atau 100,000km — bergantung mana tiba dahulu.
Di Malaysia, SUV kompak ini ditawarkan pada harga RM147,888 tanpa insurans.

Sebagai tawaran Early Birds Promotion, pembeli awal berpeluang menerima rebat RM4,000 atau memilih Pakej Aksesori Tulen Suzuki secara percuma, merangkumi multi-roof rack, roof basket dan door visor. Promosi eksklusif ini berlangsung hingga 31 Disember 2025.
Suzuki Fronx dijangka bakal menjadi pilihan menarik buat pembeli yang mahukan SUV kompak, bergaya, dan praktikal dengan harga mampu milik di pasaran tempatan.
GALERI:


























- BACA: REKAAN KERETA MESTI BERTAHAN SELAMA SEPULUH TAHUN SEBELUM DIREKA SEMULA – INI ADALAH KEPUTUSAN TOYOTA
- BACA: TOYOTA COROLLA CROSS ENJIN HIDROGEN – BUNYI LAIN MACAM, RASA MACAM ICE!
- BACA: LEPAS LAMA BERDEGIL, TESLA KHABARNYA SETUJU APPLE CARPLAY JADI CIRI WAJIB
- BACA: GWM PAMER TEKNOLOGI HIBRID PINTAR DI GATE 2025, UMUM GWM WEY G9 TIBA AWAL 2026

